Malaysia Dateline

‘Guna darurat untuk belanja wang rakyat’

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung ordinan baharu yang memberi kuasa untuk menggunakan dana tanpa kelulusan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Presiden AMANAH berkenaan berpendapat undang-undang baharu itu bukti bahawa pengisytiharan darurat yang kononnya sebagai langkah untuk menangani penularan Covid-19 hanya alasan semata-mata.

“Rupa-rupanya madah berhelah. Guna darurat untuk belanja wang rakyat tanpa perlu bahas dalam Parlimen.

“Cakap dari awal bukankah senang. Kasihan Encik Covid-19 yang jadi mangsa,” sindir Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram menerusi Twitter hari ini.

Semalam, kerajaan mewartakan satu undang-undang baharu yang membenarkan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan), Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa pada 31 Mac 2021, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan dua seksyen baharu iaitu 10A dan 10B, telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.