Malaysia Dateline

Guna istilah barua, pelbagai nama binatang itu bahasa sopan ulama kelas dunia

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan Pas yang digelarnya ‘parti suci’ hanya nampak kotoran di pihak lain.

Beliau berkata tindakan provokasi beberapa individu di hadapan Pejabat AMANAH, Jalan Persinggahan, Ladang Tok Pelam ketika Pengarah Komunikasi parti, Khalid Abdul Samad menghadiri pertemuan bersama ahli Pakatan Harapan (PH) adalah biadab.

Hanipa mengulas reaksi Naib Presiden Pas, Ustaz Idris Ahmad yang menyifatkan Khalid sangat biadab dan melampaui akhlak sebagai seorang Muslim ekoran kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai ‘tidak center’ (tidak berapa betul).

“Terima kasihlah kerana tegur atau nasihat pemimpin AMANAH yang dikatakan biadap.

“Cuba nak tanya sikit, yang kacau ganggu YB Shah Alam itu kira-kira tak biadablah ustaz ya?

“Kira-kira betullah ustaz jika saya kata parti ehem ini (Pas) parti suci. Nampak orang lain saja yang kotor. Antum semua kira-kira suci dan bersihlah kot?” tempelaknya.

Mengulas lanjut, Hanipa berkata, beliau boleh menerima reaksi amat marah dan melenting penyokong Pas apabila Presiden mereka ditegur.

“Memanglah naik angin seorang agamawan apatah lagi katanya agamawan bertaraf dunia ditegur sebegitu rupa sebab Nabi s.a.w yang ma’sum pun hanya dituduh majnun ( gila ), ahli sihir dan lain-lain.

“‘Kan mereka semua ada hati dan perasaan yang mungkin terluka ketika ditegur dan tidak ada rasa apa-apa apabila tiba giliran dia orang pula tegur dan kritik orang lain sekeras mana pun sebab orang lain manalah ada hati dan perasaan,” ujarnya.

Beliau menerangkan Nabi Muhammad di Taif bukan sahaja dihina secara lisan malahan dibaling batu lagi.

“Tapi cuba lihat dan baca doa Nabi saw selepas insiden itu antaranya berbunyi ‘jika itu semua tidak membuat Engkau murka ke atasku, aku tidak peduli (ya Allah)…'” katanya.

Sehubungan itu, Hanipa menegaskan bagi Nabi Muhammad ialah kemurkaan Allah dan bukannya kemarahan manusia.

“Baguslah marah bila dikatakan pemimpin AMANAH guna bahasa biadap terhadap pemimpin kami (Pas) yang bertaraf agamawan dunia.

“Pemimpin kami bertaraf ulama kelas dunia setakat guna istilah barua dan pelbagai nama binatang saja! Itu bahasa sopan apa!” bidas peguam itu lagi.