Malaysia Dateline

Guna kedudukan untuk dapatkan sokongan, SPRM digesa siasat Ahmad Fayshal

Pemuda AMANAH Nasional mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal atas kesalahan cuba menggunakan kedudukan untuk mendapatkan sokongan.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Kevin Shawn Gomez berkata, Fayshal perlu didakwa di bawah Akta 694 atas kesalahan menawarkan ganjaran melalui kedudukannya sebagai Timbalan Menteri untuk mendapatkan sokongan bagi merebut jawatan Ketua Armada Nasional.

Ia selepas tertular satu sesi dialog bersama sekumpulan ahli Bersatu, didakwa Wan Fayshal secara terus terang mengakui jawatan yang diperolehinya ketika ini berguna untuk mengeluarkan surat sokongan terhadap dirinya sendiri.

“Seorang pemimpin muda yang naik sebab menentang kleptokrasi dan diberi peluang untuk memimpin golongan anak muda, akhirnya kecundang ditampuk kuasa dengan godaan kuasa dan wang ringgit.

“Wan Fayshal wajar berasa malu dengan dirinya dan wajib memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda yang kini bergelut dengan krisis ekonomi pasca Covid-19 namun tabah menjalani kehidupan dengan cekal,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam satu dialog di sebuah restoran, Wan Fayshal berkata beliau akan membuat surat salinan sokongan terhadap dirinya, kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“…Saya sebagai Timbalan Menteri dan insyaAllah Ketua Armada Nasional akan permudahkan, dengan bagaimana?

“Saya keluarkan surat sokongan (iaitu), saya Timbalan Menteri (dilantik) sebagai Ketua Armada. Saya akan buat salinan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Perdana Menteri.

“Itu guna jawatan,” katanya diikuti tepukan gemuruh daripada kumpulan pendengarnya dipercayai anggota Armada.

Sementara itu, Kevin mendesak agar Muhyiddin mengambil tindakan tegas terhadap Wan Fayshal.

Beliau menegaskan, tindakan membiarkan bekas pegawai Syed Saddiq itu terus berada dalam saf kepimpinan kerajaan, hanya akan membuktikan bahawa perbuatan Wan Fayshal direstui.