Malaysia Dateline

Guna komunikasi untuk kukuhkan demokrasi, kata Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa semua pihak agar menggunakan komunikasi untuk mengukuhkan demokrasi di Malaysia dan tidak membiarkan ia dirampas oleh golongan fanatik dan pembenci.

Menggariskan ia sebagai satu daripada lima tunggak moral yang perlu ditetapkan apabila berkomunikasi, beliau berkata suara penyelesaian, sokongan kebaikan dan saling menghormati serta gesaan ke arah perpaduan hendaklah dilakukan berterusan.

“Ia tidak cukup hanya untuk mengadu antara satu sama lain mengenai keadaan negatif yang diwujudkan oleh golongan fanatik dan pembenci berkenaan. Jangan biarkan politik sektarian tumbuh di negara ini.

“Rakyat perlu bersuara dan perjelaskan identiti dan demokrasi kita, Kalau tidak, suara kebencian dan permusuhan akan meningkatkan momentum dan menjadi seumpama landasan tren yang satu hari kelak akan melukai kita semua,” katanya dalam ucaptama pada Bengkel Komunikasi Dunia 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Eheal Ekonomik (Ideas), Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang.– BERNAMA