Malaysia Dateline

Guna kutipan cukai minyak sawit untuk subsidi minyak masak

Kerajaan harus menggunakan kutipan cukai minyak sawit untuk subsidi minyak masak, tegas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Wakil rakyat DAP itu berkata, kerajaan selama ini hanya memberi subsidi minyak masak kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg satu kilogram (kg) sahaja bukan minyak masak 2 kg hingga 5 kg dalam botol.

“Harga minyak masak dalam botol 5 kg melonjak naik melepasi harga antara RM30 hingga RM32.70 sebotol berbanding hanya RM20 hingga RM23 sebotol pada pertengahan 2019.

“Peningkatan harga ini mendatangkan sungutan daripada pengguna dan ia menambahkan beban mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengkaji keberkesanan subsidi minyak masak dalam bentuk 1 kg polibeg kerana banyak ketirisan dari segi pengedaran dan penjualan.

Menurutnya, ketirisan tersebut menyebabkan subsidi minyak masak tidak sampai kepada rakyat yang memerlukan terutama golongan B40 kerana digunakan oleh penjaja bahkan pengusaha restoran.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan memberi subsidi kepada 60,000 metrik tan dalam bentuk 60 juta polibeg sebulan kepada rakyat yang mencukupi untuk 32.7 juta orang dengan kadar penggunaan 1.7kg seorang setiap bulan.

Mengulas lanjut, Teresa yang juga bekas Menteri Industri Utama era kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkata, sudah tiba masa untuk kerajaan mengeluarkan dasar baharu, iaitu memberi subsidi kepada semua syarikat pengeluaran minyak masak apabila harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat melebihi RM3,500.

Langkah tersebut, jelasnya, membolehkan kerajaan menetapkan harga siling bagi minyak masak yang berbotol daripada 2 kg hingga 5 kg yang dikeluarkan di negara kita sebagai usaha untuk mengawal inflasi.

Beliau menegaskan Malaysia adalah negara pengeksport minyak sawit yang kedua besar di dunia dengan industri minyak sawit menyumbang pelbagai jenis cukai yang berjumlah berbilion-bilion ringgit kepada kerajaan.

“Kerajaan haruslah menggunakan peningkatan cukai yang dikutip daripada industri ini untuk mensubsidi minyak masak keluaran tempatan di negara kita,” tambahnya lagi.