Malaysia Dateline

Guna logo PN sukarkan penyokong Umno undi Pas dalam PRN Melaka

Tindakan Pas menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri Melaka akan menyukarkan penyokong Umno untuk mengundi Pas ketika Umno sudah bertegas tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Jurucakap utama pimpinan Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, sebab itu dari awal lagi Umno telah mencadangkan agar Pas menggunakan logonya sendiri bukannya logo pihak lain bagi memudahkan penyokong mereka mengundi Pas.

“Sekarang, bagaimana ahli Umno di Melaka nak bezakan antara calon Pas dengan calon dari Bersatu ketika kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

“Sebab itu dari awal lagi, kita minta Pas gunakan logo mereka tetapi ia telah ditolak oleh Pas apabila mereka membuat keputusan menggunakan logo PN,” kata Lokman dalam satu sessi video live dengan beliau.

Tindakan yang diambil Pas untuk menggunakan logo PN turut dibantah oleh akar umbi Pas di Melaka, kata Lokman.

Menurut kajian, Umno mempunyai akar umbi yang paling besar di kalangan parti politik yang bertanding di Melaka.

STRATEGI DAPATKAN DANA PRU

Lokman yakin BN dan Umno akan menang dalam PRN Melaka walaupun bergerak secara solo.

Bagi Lokman, strategi yang diambil oleh Pas ini adalah untuk mendapatkan dana bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang bukan untuk PRN Melaka sahaja.

“Ini adalah strategi untuk mencari modal, bukan sahaja pilihan raya negeri Melaka sebab dia tahu dia tidak boleh menang walaupun satu kerusi.

“Ini modal untuk mencari dana pilihan raya umum,” kata Lokman ketika menjawab satu persoalan dari rakannya kenapa Pas menggunakan logo PN dalam pilihan raya negeri Melaka ini.

Menurut Lokman, sebelum ini, Umnolah parti yang sentiasa memberikan bantuan dana untuk Pas dalam menghadapi pilihan raya dan juga ketika membuat persiapan muktamarnya.

Dalam pilihan raya akan datang juga, katanya, Pas akan mensasarkan tiga negeri untuk menang besar iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kalau Mahiaddin tabur duit kepada dia, jawabnya di tiga negeri ini, Bersatu tidak akan menang satu kerusi pun, sebab Pas akan memastikan mereka menang di tiga buah negeri ini,” kata Lokman mengenang kembali apa yang berlaku kepada Umno di ketiga-tiga negeri itu.

Umno kehilangan Terengganu dan Kedah manakala Kelantan kekal di tangan Pas dalam pilihan raya umum lalu ketika Umno mendakwa merekalah yang memberikan dana pilihan raya umum Pas.

Menurut Lokman, menjelang pilihan raya umum lalu, Umno telah banyak membantu Pas dalam bentuk memberikan dana untuk pilihan raya.

“Hasilnya Pas menang termasuk di Terengganu dan Umno juga yang kalah,” kata Lokman merujuk kepada Terengganu, negeri yang sebelum itu dimenangi oleh Umno.

Bagi Lokman, tindakan Pas memilih lambang PN telah menamatkan permainan dua kolam Pas.

“Lepas ini sudah tidak lagilah. Bila Pas memilih logo PN seumpama Pas sudah memilih suami baru yang kaya raya ini berbanding suami lama dia yang dia fikir sudah tidak mampu untuk memenuhi kehendak dan nafsu dia,” katanya.

Lokman yakin, dengan mengambil pendekatan bergerak secara solo, Umno dan BN akan menang dalam PRN Melaka kali ini.