Guna modul khas pulihkan akidah, fardu ain Raja Bomoh, kata Mufti WP

Guna modul khas pulihkan akidah, fardu ain  Raja Bomoh, kata Mufti WP

Akidah Ibrahim Mat Zin yang digelar ‘Raja Bomoh’ boleh dipulihkan selepas menjalani kelas pemulihan akidah serta fardu ain di bawah kendalian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan selepas ini, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Beliau berkata Unit Konsultasi Akidah di pejabat itu akan menyediakan modul khas yang mengandungi elemen penting untuk diterapkan terhadap Ibrahim sepanjang enam bulan tempoh pemulihan seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

“Sebagai permulaan, Ibrahim akan dipanggil seberapa segera ke pejabat mufti untuk sesi bertaaruf (mengenali) bagi membolehkan kami mengetahui latar belakangnya dan menyelami masalah serta punca dia terlibat dalam amalan perbomohan yang sebegitu rupa sebelum kita memulakan bimbingan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ibrahim, 66, melalui perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam diarah berkelakuan baik selama enam bulan dengan bon jaminan di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan selepas mengaku ritual perbomohan yang dilakukan adalah satu pembohongan dan lakonan semata-mata.

Ibrahim yang dihadapkan ke mahkamah selepas ditahan polis di sebuah hotel di Segamat, Johor, Jumaat lepas turut mengaku bersalah di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 kerana menghina agama Islam.

Datuk Ibrahim Mat ZinMengulas lanjut, Zulkifli berkata sepanjang tempoh itu, Ibrahim akan dibimbing mengenai hal ketuhanan, akidah dan tauhid serta amalan perbomohan mengikut perspektif Islam agar segala amalan bersifat syubhat atau tidak jelas halal haramnya dapat dibuang.

Berdasarkan interaksinya dengan Ibrahim pada sesi pengakuan di Kompleks Pusat Islam semalam, beliau yakin pengakuan Ibrahim mengenai kesilapannya adalah ikhlas serta benar-benar ingin berubah.

Ibrahim mencuri tumpuan media selepas muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang bersama dua biji kelapa dan ‘teropong buluh’ untuk mengesan kedudukan pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

Bagi menangani ketegangan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara susulan pembunuhan abang pemimpin negara itu, Kim Jong-nam, Ibrahim serta beberapa pengikutnya sekali lagi menarik perhatian dunia apabila tampil melakukan satu ritual kononnya memagar Malaysia dari serangan Korea Utara di luar Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.