Guna punggung wanita untuk iklan timbulkan kemarahan wanita DAP

Guna punggung wanita untuk iklan timbulkan kemarahan wanita DAP

Tindakan syarikat penerbangan Firefly milik Penerbangan Malaysia (MAS) menggunakan imej punggung wanita dalam iklan tawaran tiket murahnya disifatkan sebagai menghina wanita dan cuba mengeksploitasinya secara seksual.

Sehubungan itu, DAP mengutuk keras tindakan Firefly dan menggesa syarikat terbabit meminta maaf secara terbuka kepada semua wanita kerana tidak sensitif dengan mempamerkan anggota tubuh wanita bagi menarik perhatian orang ramai.

“Tubuh wanita bukan untuk dipergunakan pihak tertentu dalam penjualan produk. Bagi mengekalkan semangat kesaksamaan dan kepekaan gender serta penyertaan sosial, Firefly wajib meminta maaf dengan segera kerana bersikap tidak sensitif.

“Bagaimana syarikat terkemuka seperti Firefly boleh terfikir sebuah iklan yang menggunakan anggota tubuh wanita sebagai kaedah promosi akan diterima masyarakat? Tidak, ia langsung tidak boleh diterima,” kata Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Kebangsaan, Syerleena Abdul Rashid.

Beliau mengulas tindakan Firefly memaparkan iklan tawaran tiket murah di laman rasmi dan Facebook sebelum ini yang menggunakan imej dua punggung wanita bertulis 50% dan 10%. Namun, berikutan pelbagai reaksi negatif pengguna, syarikat itu kini memadam iklan itu di Facebook.

Syerleena yang juga Pengarah Pendidikan Politik Wanita DAP Pulau Pinang berkata, Firefly membuat kesilapan besar dengan menyalahgunakan wanita dalam iklannya, malah, memusnahkan advokasi hak wanita dengan memaparkan seolah-olah apa yang ada pada golongan itu hanyalah tubuhnya.

“Selama beberapa dekad, wanita terpaksa menghadapi pelbagai halangan untuk mengatasi amalan diskriminasi yang tidak sensitif, terutama dalam bidang pemasaran atau penjualan sesuatu produk.

“Ia berikutan dunia pengiklanan yang sering dikuasai oleh kaum lelaki mempunyai pemikiran bahawa masyarakat moden kononnya boleh menerima penggunaan wanita sebagai objek seks dalam media.

“Apa yang lebih mengerikan ialah bagaimana ia memandang manusia hanya dari sudut tubuh dan bukannya aspek lain seperti elemen semula jadi dan emosi, serta mengakibatkan wanita dipandang sebagai pemuas nafsu semata-mata,” lapor Roketkini.

Menurutnya, golongan wanita berjuang bermati-matian dalam memastikan keadilan sosial dan hak-hak wanita di negara ini diberi keutamaan dan diiktiraf, malah, wujud pergerakan global yang berusaha sedaya upaya memecahkan stereotaip jantina dan eksploitasi gender secara seksual.

“Eksploitasi terhadap gender secara seksual dalam media turut mengakibatkan pelbagai masalah lain dalam masyarakat, seperti obses dengan rupa paras hingga menyebabkan kemurungan, keresahan disebabkan tubuh badan, gangguan makan dan lain-lain,” katanya.

TAGS