Malaysia Dateline

Guna saluran betul, elak berbalah pandangan ahli dan pimpinan, kata Pemuda AMANAH

Pemuda Amanah Nasional (AMANAH) menggesa agar semua pihak menggunakan saluran yang betul dalam menyampaikan sebarang pandangan.

Ketua Pemudanya Mohd Sany Hamzan berkata, ini akan meletakkan PH sebagai sebuah gabungan parti yang menjaga disiplin dalam menguruskan konflik atau krisis di kalangan komponen parti sekali gus memberi keyakinan kepada semua bahawa PH mempunyai kekuatan untuk terus memimpin negara.

“Perkembangan mutakhir ini yang menyaksikan sesetengah pihak di kalangan Pakatan Harapan agak gelojoh dalam membuat kenyataan terutamanya melibatkan hal dalaman parti adalah sesuatu yang tidak sewajarnya berlaku.

“Pemuda AMANAH memandang serius akan perkara ini dan menggesa semua pihak sama ada di kalangan ahli parti mahupun pimpinan agar berhenti daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau perbalahan,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Templer menjelaskan,
Pemuda AMANAH berpandangan pada ketika ini adalah lebih baik agar semua pihak memberi fokus kepada usaha menyelesaikan isu-isu rakyat.

Katanya lagi, terutama dalam hal melibatkan pengurusan ekonomi dan inisiatif yang dapat memakmurkan kehidupan rakyat.

“Sebagai parti yang memerintah dan mempunyai struktur kepimpinan yang teratur, adalah lebih baik sekiranya sebarang pandangan atau teguran disampaikan melalui saluran dalaman yang lebih tertib dan praktikal.

Dalam pada itu, Pemuda AMANAH juga menggesa agar semua pihak untuk menghormati dan akur terhadap setiap keputusan yang telah dipersetujui bersama sama ada dalam perkara melibatkan dasar –dasar kerajaan ataupun perkara-perkara yang melibatkan parti.

“Perlu diingatkan bahawa setiap tindak-tanduk yang melibatkan ahli dan pimpinan Pakatan Harapan sudah pasti akan diperhatikan oleh rakyat di bawah dan ini boleh menjejaskan imej PH sebagai parti yang memerintah ketika ini.

“Ini disebabkan kenyataan-kenyataan yang dibuat memberi gambaran seolah-olah pimpinan PH tidak berada dalam landasan yang sama terhadap satu-satu isu yang timbul,” ujarnya.-