Guna semula nama Armada jika RoS luluskan

Guna semula nama Armada jika RoS luluskan

Tidak melemahkan perjuangan untuk mara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Bersatu sedia menuruti arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dari semasa ke semasa terutama berhubung penggunaan istilah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Ulya Aqamah Husamudin menyifatkan isu tersebut sebagai perkara yang boleh ditangani walaupun dilihat seperti mengalih perhatian daripada hal sebenar yang lebih penting.

“Kita sudah berhubung dengan ROS sejak awal lagi. Pindaan kepada nama Armada sudah kita lakukan melalui mesyuarat AGM yang kami telah adakan.

“Sekarang ini, ROS arahkan jangan pakai nama Armada buat sementara waktu sebab mereka belum luluskan. Kalau begitu kami pakai nama Pemuda PPBM buat masa sekarang.

“Kalau mahu ikutkan, isu ini remeh berbanding kenaikan harga minyak naik. Bagi kami, ROS sangat tidak profesional,” luahnya ketika ditemui Malaysia Dateline di persimpangan Jalan Parlimen tengah malam tadi.

Terdahulu, Ulya yang juga Ketua Penerangan Pemuda Bersatu memberitahu, pindaan berhubung nama Armada itu sudah dihantar beberapa kali kepada pihak ROS.

“Dari segi pindaan, kita sudah hantar banyak kali seawal Disember tahun lepas. Terakhir, kita hantar pada Jun lalu.

“ROS ketika itu, tidak pula kata tidak boleh (guna nama Armada). Jadi, kami ingat tiada masalah selepas pindaan dihantar mengikut prosedur.

“Tapi bila ROS arah pula tidak boleh guna nama Armada, kami kata tidak mengapalah walaupun tiada sebab pun sebenarnya ROS tidak meluluskan nama Armada, setakat nama sahaja,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, penggunaan istilah Armada akan diguna semula sebaik ROS meluluskannya dan menganggap hal tersebut sama sekali tidak menganggu gugat gerak kerja partinya.

“Hanya bila ROS luluskan, kami guna semula nama Armada tapi kalau tidak diluluskan, perjuangan kami tetap diteruskan,” ujarnya.

Kuota

Ditanya tentang peluang pimpinan muda dalam Bersatu untuk dipilih sebagai calon bertanding pada PRU-14 yang bila-bila masa sahaja akan diadakan, Ulya berkata, pertimbangan amat bergantung kepada faktor calon boleh menang.

Menurutnya, Bersatu akan memberi banyak peluang kepada anak muda memandangkan 57 peratus daripada ahli Bersatu terdiri daripada mereka yang berusia bawah 35 tahun.

“Kami telah bermesyuarat tentang hal ini. Kita ada minta sehingga 30 peratus tapi bergantung pada kata putus pimpinan tertinggi.

“Banyak kali kami bawa dan pimpinan tertinggi sangat positif. Kita akan lihat lebih ramai calon anak muda pada PRU-14.

“InsyaAllah, Bersatu akan mempunyai banyak kuota untuk anak muda bertanding tetapi paling penting adalah potensi tinggi calon boleh menang sebagai hal yang diutamakan,” jelasnya.

Tambah Ulya lagi, penetapan kuota untuk calon anak muda bertanding tidak bermakna sekiranya faktor boleh menang dikompromi.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES