Malaysia Dateline

Tun Dr Mahathir Mohamad

Guna simbol parti masing-masing sukarkan Pakatan Harapan, kata Mahathir

Sikap membisu Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan Pakatan Harapan (PH) didaftarkan sebagai sebuah gabungan bagi membolehkan mengunakan satu simbol akan menyukarkan pakatan empat parti itu untuk berhadapan dengan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad RoS sehingga kini tidak pernah menjawab surat yang pernah dihantar ke jabatan itu sama ada mereka meluluskan pendaftaran PH.

“Jika kami tidak dapat kelulusan terutama bagi simbol kami, maka kami terpaksa guna simbol masing-masing. Ini akan mengelirukan pengundi.

“Tidak menjawab tidak bermakna Pendaftar tidak lulus. Parti memerlu masa yang panjang untuk memperkenal simbol dan gabungan kami kepada orang ramai. Jika kelulusan diberi setelah Parlimen dibubar, tidak ada masa bagi kami membuat persiapan.

“Ada unsur mala fide, niat tidak baik dalam tindakan Pendaftar tidak jawab permohonan kami,” jelas Pengerusi PH itu di dalam tulisan di blognya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini juga menjelaskan dua kali perjumpaan dengan RoS dilakukan tidak menghasilkan penjelasan rasmi.

“Kononnya ada masalah dengan DAP dan Parti Pribumi. Kenyataan juga dibuat oleh Pendaftar kepada orang ramai, tetapi tidak ada surat rasmi menjelaskan apa dianya masalah.

“Jawapan tertulis tidak pernah diterima dari Pendaftar. Hakikatnya ialah hingga sekarang selepas 7 bulan permohonan dibuat Pakatan Harapan tidak tahu apa kedudukannya,” ujar beliau.

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan ROS tersebut akan menguntungkan Barisan Nasional dan UMNO dalam pilihanraya yang bakal menjelang tiba.

“Parti memerlu masa yang panjang untuk memperkenal simbol dan gabungan kami kepada orang ramai. Jika kelulusan diberi setelah Parlimen dibubar, tidak ada masa bagi kami membuat persiapan.

“Rakyat perlu ambil perhatian terhadap tindakan Najib untuk menafikan hak rakyat memilih Kerajaan dalam pilihanraya mengikut Perlembagaan Negara,”ujarnya.