Malaysia Dateline

Guna untung bersih TH RM1.22 bilion tampung subsidi kos haji

Kerajaan disaran menggunakan keuntungan bersih Tabung Haji bagi enam bulan pertama tahun 2021 iaitu sebanyak RM1.22 bilion bagi menampung susidi kos haji umat Islam negara ini.

AJK AMANAH Nasional Faiz Fadzil berkata, keuntungan itu dikecapi sejak tahun 2019 ini susulan dasar pemulihan dan penstrukturan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini harus digunakan untuk manfaat umat Islam.

“Tujuan fundamental Tabung Haji adalah menguruskan ibadat haji umat Islam negara ini dan oleh itu tanggungan subsidi bagi mengekalkan jumlah bayaran yang sama (RM9,900) adalah dituntut memandangkan jumlah subsidi hanya sekitar RM500 juta,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kos mengerjakan haji dijangka meningkat sebanyak RM30,000 pada tahun ini.

Kenyataan itu telah membimbangkan umat Islam terutama mereka yang telah diluluskan akan menunaikan ibadat rukun Islam kelima itu tahun hadapan.

Umat Islam di Malaysia sebelum ini hanya perlu membayar RM9,900 sahaja dan kos selebihnya ditanggung kerajaan.

Menurut Adun Permatang Pasir ini, kerajaan seharusnya meneruskan pemberian subsidi bagi mengekalkan jumlah bayaran yang sama (RM9,900) bagi membantu meringankan beban umat Islam di negara ini.

Ini kerana, katanya kesusahan yang ditanggung umat Islam sejak pandemik Covid-19 ini tidak harus dibebankan lagi dengan kos haji yang meningkat terutama bagi mereka yang diluluskan mengerjakan haji.