Gunung Berapi Taal meletus lebih 6,000 penduduk dipindahkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pihak berkuasa Filipina telah memindahkan lebih 6,000 penduduk di wilayah Batangas di selatan ibu negara Manila, yang terjejas akibat abu letusan gunung berapi, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan pada Isnin.

Kejadian itu memaksa pihak berkuasa menutup lapangan terbang Manila dan menggantung aktiviti kewangan di ibu negara.

Pada Ahad seramai 6,346 penduduk dipindahkan apabila letusan Gunung Berapi Taal menghamburkan abu sehingga satu kilometer ke udara, lapor The Manila Times.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memberi amaran kepada penduduk bahawa “letusan berbahaya mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari.”

Pihak berkuasa juga menutup sekolah dan pejabat kerajaan di kawasan yang terjejas.

Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dan mematuhi nasihat serta notis rasmi yang dikeluarkan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Presiden Rodrigo Duterte sebelum ini mengarahkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memindahkan penduduk berhampiran zon bahaya.

Penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino juga digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Ketua pihak berkuasa Lapangan Terbang Manila Ed Monreal berkata landasan di lapangan terbang dipenuhi abu, lapor PNA.

Setakat ini, lebih 100 penerbangan telah dibatalkan atau ditukar laluan disebabkan penggantungan operasi lapangan terbang.

Pihak berkuasa kesihatan juga meminta penduduk di kawasan terjejas untuk berpindah jika keadaan memerlukan, tambah PNA.– BERNAMA