Malaysia Dateline

Gunung Lanno terancam: Pemasyhuran Sultan tanpa pewartaan tidak beri sebarang makna

Pemasyhuran daerah Kinta dan Kampar sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak memberi apa-apa makna kerana tidak mempunyai kekuatan daripada sudut perundangan.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Geopark Lembah Kinta seluas 1,952 kilometer persegi itu perlu diwartakan bagi melindungi dan memelihara kawasan tersebut.

“Pengisytiharan yang telah dimasyhurkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak tidak memberi apa-apa makna kerana sekadar mengisytihar tetapi kekuatan daripada sudut perundangan untuk memelihara kawasan tersebut tidak begitu kuat disebabkan ia hanya diisytihar bukan diwarta.

“Malah, beberapa kawasan semula jadi yang masih terdapat di kedua-dua daerah tersebut sedang dan akan dimusnahkan tanpa mengambil kira pengisytiharan yang telah dimasyhurkan,” ujarnya.

Meor Razak Meor Abdul Rahman

Untuk rekod, Sultan Nazrin menyempurnakan istiadat pemasyhuran kawasan tersebut sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan di Taman Rekreasi Gunung Lang pada 25 Oktober tahun lalu.

Menerusi pemasyhuran itu, Lembah Kinta dibangunkan secara lestari serta mengambil kira kepentingan alam sekitar, sekali gus menjadi pemangkin kepada aktiviti eko-pelancongan, geo-pelancongan serta aktiviti pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.

 

Kritikal Terancam

Mengulas lanjut, Meor Razak berkata, terdapat formasi bukit batu kapur di selatan Gunung Lanno dalam daerah Kampar iaitu Gunung Gajah yang menjadi habitat spesies pokok terancam yang dikategorikan sebagai Kritikal Terancam atau ‘Critically Endangered’ (CR) oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antabangsa (IUCN).

“Nama saintifik spesies pokok tersebut ialah Hopea bilitonensis dan tidak terdapat nama tempatan. Ketika ini, habitat spesies tersebut sedang diancam oleh kegiatan kuari dan tidak ada usaha-usaha untuk melindunginya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pembuat keputusan di peringkat Pihak Berkuasa Negeri terutama Menteri Besar dan pegawai eksekutif di peringkat negeri, pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), agensi badan pemikir negeri dan lain-lain yang berkaitan mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan Gunung Lanno.

Menurutnya, Pihak Berkuasa Negeri mesti mewartakan sebahagian kawasan bukit batu kapur yang terdapat di Lembah Kinta sebagai kawasan perlindungan, contohnya sebagai Hutan Simpan Kekal terutama kawasan bukit batu kapur yang mempunyai ciri-ciri unik serta spesies flora dan fauna bersifat endemik dan jarang ditemui.

Warisan geologi itu yang merupakan antara gunung terbesar di Lembah Kinta dengan memiliki kira-kira 36 gua batu kapur yang unik dibimbangi sedang diancam aktiviti perlombongan kuari.

Difahamkan Gunung Lanno telah lama ditarah mengakibatkan banyak gua lenyap akibat projek kuari selain kawasan sekitarnya dijadikan sebagai kawasan pembuangan sampah.