Malaysia Dateline

Gunung Nuang akan dinaiktaraf jadi sektor pelancongan utama di Hulu Langat

Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus berhasrat menjadikan Taman Eko Rimba  Gunung Nuang di Dusun Tua sebagai salah satu destinasi pelancong luar negara dan tempatan dikalangan pendaki dan pencinta keindahan alam semulajadi.

Beliau berkata bertepatan dengan konsep Rahmatan lil Alamin yang dibawa kerajaan Pakatan Harapan dan demi menjaga maqasid syariah kawasan sekitar hutan lipur dan laluan pendakian Gunung Nuang setinggi 1,493 meter dari aras laut akan dinaik taraf bagi tujuan tarikan utama dalam sektor pelancongan di Negeri Selangor.

Justeru atas inisiatif beliau dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Hulu Langat, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD),Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBDP) telah merancang Projek Pembersihan Laluan Gunung Nuang yang dimulakan hari ini sehingga 24 Disember ini.

Penglibatan seramai 200 anggota tentera dan 300 pendaki itu akan bergotong royong membersihkan denai dan laluan ke puncak Gunung Nuang.

” Apabila saya dimaklumkan Gunung Nuang akan ‘dihidupkan’ semula dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan RAMD serta NGO dan pendaki, diharapkan akan menjadikan Gunung Nuang sebagai agenda utama di Dusun Tua yang berada di bawah Parlimen Hulu Langat.

“Dalam Bajet 2019 saya akan pastikan mana-mana NGO yang ada kemudahan bagi tujuan pendakian, akan diberikan keutamaan untuk bergerak dan berkempen bagi memastikan Dusun Tua menjadi destinasi terbaik dalam peta pelancongan di Malaysia oleh pelancong luar negara kerana adanya Gunung Nuang di sini,” ujarnya ketika merasmikan program diadakan di Taman Eko Rimba  Gunung Nuang hari ini.

Hasanuddin Mohd Yunus (dua dari kanan) akan memastikan Gunung Nuang menjadi tumpuan utama pelancong ke Hulu Langat.

Hasanuddin yang juga Naib Presiden AMANAH ini berkata, bprogram yang bertemakan ‘Sayangi Hutan’ ini, akan dapat merealisasikan Gunung Nuang sebagai destinasi pelancong luar dan tempatan secara giat lagi. Justeru  beliau akan memastikan infrastruktur jalan raya menuju ke Hutan Lipur Gunung Nuang dan pendakian ke Gunung Nuang dapat dipertingkatkan segera.

“Saya akan pastikan Menteri Pelancongan dan Exco Pelancongan Negeri Selangor dapat lakukan sesuatu yang terbaik.

“Terutama keperluan pembesaran jalan Cheras dari Batu 9 sehingga ke Batu 14 akan dapat dinaiktaraf dalam tempoh terdekat untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Begitu juga dengan keperluan penduduk sekitar di kawasanEko Rimba Gunung Nuang ini,” ujarnya.

Hasanuddin Mohd Yunus menanam sebatang pokok selepas merasmikan program yang diadakan hari ini,.

Dalam program tiga hari ini semua pihak terlibat dibahagikan kepada 6 kumpulan yang diberikaan tugas masing-masing.

Kumpulan 1 akan membersihkan laluan kenderaan pacuan empat roda (4WD).
Kumpulan 2 akan memasang tali di dua lokasi’crossing point’ dan membina sekatan diempangan.
Kumpulan 3 akan memasang tali di denai antara Kem Pacat dan Puncak Pengasih.
Kumpulan 4 akan memperkemaskan tangga yang sedia dipasang di punca dan membina laluan baru ke puncak dan
Kumpulan 5 akan membersihkan denai daripada sampah sarap dan membersihkan 6 buah pondo rehat dan
Kumpulan 6 akan memeriksa sekiranya terdapat virus jangkitan dan disepanjang aliran sungai.

Sebagai rekod Gunung Nuang adalah gunung tertinggi di Negeri Selangor. Gunung Nuang terletak di atas sempadan Negeri Selangor dan Pahang.  Dikalangan pendaki dan pencinta alam  boleh mengekses ke puncak Gunung Nuang dari tiga lokasi utama iaitu di Kuala Pangsoon,Hulu Langat, dari Kampung Kemesah, Gombak dan dari Bukit TInggi, Bentong, Pahang.