Gurau mahu kembali bersama bekas kekasih, wanita dikirim ‘tamparan lelaki’ oleh suaminya

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang wanita menghantar pesanan gurauan melalui aplikasi Whatsapp mengundang padah apabila suaminya bertindak memarahi dan menamparnya.

Menurut wanita tersebut, suaminya itu sedang menghadiri kursus selama seminggu di Kuala Lumpur dan pada hari ketiga, dia bertindak mengantar pesanan itu.

Mulanya, suaminya tidak membalas isi pesanan yang mengatakan bahawa dia ingin melarikan diri mengikut teman lelakinya.

Rupa-rupanya, pada malam kejadian, suaminya sanggup memandu selama empat jam untuk pulang ke rumah bagi meminta penjelasan.

Sempat ketawa mengilai, wanita tersebut terkejut apabila suaminya bertindak menampar dan memarahi dirinya sebelum pulang semula ke ibu kota untuk menyambung kursusnya.

“Suami tanya apa saya dah buat. Saya cakap saya bergurau sambil gelak besar. Suami marah dan tampar muka saya.

“Lepas itu, suami cakap kalau engkau buat perangai teruk macam ini aku ceraikan kau, aku pergi kursus bukan main-main,” kata wanita terbabit.

Menurutnya, dia tidak menyangka suaminya sanggup ‘naik tangan’ di usia perkahwinan yang baru mencecah empat bulan.

Kongsian melalui Whatsapp Story itu kemudian dimuat turun oleh individu lain di dalam Laman Facebook B40 Buat Perangai Apa Harini.

Rata-rata pengguna media sosial menyokong tindakan suami tersebut dan berpendapat gurauan wanita itu berlebihan dan tidak bermaruah. 

Walaupun bergurau senda itu dapat melahirkan suasana bahagia di dalam rumah tangga, namun tidak perlulah sehingga melampaui batas dan menimbulkan keresahan pasangan.

Baca juga: Ditangkap polis kerana hina pembuat kertas soalan SPM, lelaki anggap tindakan diambil berlebihan