Malaysia Dateline

Kadir Jasin

Gurindam Bangsa Berkasta

Kalau nak tipu biar berjuta
Bilion ringgit lagilah berbisa
Seratus dua buat habis masa
Silap-silap bawa bencana.

Roti dan Milo sekali-kali jangan
Walaupun anak di rumah kelaparan
Polis tangkap tanpa kasihan
Magistret pula akan penjarakan.

Bila songlap berjuta-juta
Kena tangkap boleh buat kira
Kowtim sini kowtim sana
Habis sangat kompaun RM1.1 juta.

Kalau curi beribu juta
Banyak alasan boleh dicerita
Boleh dakwa tok nenek kaya
Atau derma sahabat setia.

Boleh kata Raja Arab bagi
Lagi baik kalau dia dah mati
Dia pun tak boleh nak nafi
Rakyat totok pun puas hati.

Orang biasa pening kepala
Bilion ringgit tu berapa angka?
Lama-lama mereka pun lupa
Dapatlah jadi ketua semula.

Itulah cerita masyarakat berkasta
Antara si kaya dengan si papa
Curi tabung masjid masuk penjara
Curi berjuta kena kompaun saja.

Cakap pasal agama dan bangsa
Mengaku berjasa kepada negara
Tapi di belakang lainlah cerita
Buat negara macam milik keluarga.

Demikianlah adanya.
Terima kasih.