Malaysia Dateline

Guru berhasrat bina pusat tahfiz baharu hasil bantuan peruntukan Kerajaan Persekutuan

“Bantuan daripada kerajaan tepat pada masanya. Sebelum ini kami minta bantuan daripada orang awam, tapi tak dapat sebanyak ini.”

Itu kata-kata yang keluar daripada mulut seorang guru tahfiz sebaik menerima bantuan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk kegunaan institusi pondok dan juga pusat-pusat tahfiz.

Dengan peruntukan yang diterima daripada Jakim hari ini, Ustaz Muhammad Yahya, 28, dari Pondok Pengajian al-Quran dan Hadis Al-Fathonah, Janda Baik, Bentong, Pahang berhasrat menggunakan wang itu untuk mendirikan pusat tahfiz yang baharu.

”Tempat pengajian sekarang ini pun kami sewa dengan harga RM4,000 sebulan. Jadi, apabila pihak kerajaan menyediakan peruntukan untuk kami, ia akan digunakan untuk membina pusat tahfiz (milik sendiri) yang baharu.

“Saya cukup gembira dengan bantuan yang diterima hari ini. Tempat baharu yang sedang dibina itu tidak jauh dari tempat yang kami duduk sekarang, lebih kurang satu kilometer sahaja.

“Alhamdulillah pihak kerajaan telah meringankan beban kami yang selama ini memang tercari-cari penderma-penderma yang boleh membantu kami,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline, hari ini.

Baca: Kerajaan Persekutuan serah peruntukan kira-kira RM45 juta

Baca:Kerajaan Persekutuan serah bantuan 

Dalam pada itu, Muhammad turut memberitahu akan memanfaatkan wang tersebut untuk tujuan pengurusan pusat tahfiz dan lain-lain urusan yang berkaitan.

“Selain digunakan untuk pembangunan pusat tahfiz yang baharu nanti, saya juga merancang membeli alat-alat bantuan untuk mengajar anak-anak tahfiz ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan pada tahun hadapan, Muhammad mensasarkan seramai 20 orang lagi pelajar akan berdaftar untuk sesi 2020, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 40 pelajar di pusat tahfiz yang sudah beroperasi kira-kira tiga tahun itu.

Pagi tadi, dalam satu majlis di Putrajaya, Kerajaan Persekutuan menyerahkan peruntukan kira-kira RM45 juta kepada pusat tahfiz, institusi pondok dan masjid di seluruh negara selari dengan situasi dan permintaan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, peruntukan itu disalurkan berikutan ibu bapa dilihat telah menjadikan pendidikan tahfiz dan pondok sebagai salah satu pilihan untuk anak-anak meneruskan pendidikan di peringkat menengah.

Untuk rekod, negeri Pahang menerima peruntukan pusat tahfiz berjumlah RM3,258,884.00.