Malaysia Dateline

Guru bimbang keselamatannya selepas pelajar bunuh diri, dedah NUTP

Guru yang terlibat dalam kes bunuh diri pelajarnya baru-baru ini bimbang mengenai keselamatannya selepas menerima mesej ancaman bunuh menerusi perkongsian gambarnya oleh netizen dalam talian.

Setiausaha Agung Kesatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan berkata, guru terbabit dan suaminya ialah ali kesatuan itu dan pihak kesatuan menyeru orang ramai berlaku adil terhadap pasangan suami isteri tersebut.

“Kami telah bertemu dengan mereka dan mereka telah menceritakan apa yang berlaku.

“Mereka juga telah membuat laporan polis dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat,” ujarnya dalam satu kenyataan dilaporkan The Star Online hari ini.

Beliau berkata NUTP sangat sedih dengan kematian tragis M. Vasantha Piriya yang berusia 14 tahun di Pulau Pinang minggu lalu dan akan memberikan “bantuan penuh” untuk memastikan keadilan bagi semua pihak.

Beliau juga mengingatkan 200,000 anggota kesatuan itu untuk sentiasa berwaspada terhadap tingkah laku pelajar mereka.

“Sekiranya ada sesuatu yang tidak kena atau luar biasa, patuhi prosedur operasi standard (SOP) sekolah ketika menghadapi masalah.

“Rujuk setiap butiran dan beri keterangan kepada pihak atasan anda,” tambahnya.