Guru dan ibubapa bentuk pemikiran pelajar, beri input sejarah dan isu semasa negara, kata PIBG

Guru dan ibubapa bentuk pemikiran pelajar, beri input sejarah dan isu semasa negara, kata PIBG

Dalam usaha membantu pelajar membuat keputusan yang wajar dalam undian pilihan raya, guru-guru perlu membentuk pemikiran anak didiknya dengan memberi input sejarah, keadaan ekonomi negara dan juga isu semasa negara.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hillcrest, Taman Seri Gombak, Zakhir Hussian Abdul Latiff berkata, usaha itu boleh dilakukan menggunakan mata pelajaran Pendidikan Sivik, Sejarah dan memperkenalkan subjek baharu iaitu Pengajian Am.

“Pengenalan mata pelajaran baharu (Pengajian Am) itu adalah kerana subjek tersebut lebih terarah kepada pembelajaran mengenai keadaan politik negara bermula sejak merdeka sehingga kini.

“Pendapat saya, dengan kesedaran dan maklumat terkini yang boleh disalurkan menerusi subjek ini, ia dilihat dapat memberi maklumat yang amat berguna kepada para pelajar dalam membuat keputusan yang wajar dalam undian nanti,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Zakhir Hussain Abdul Latiff

Beliau diminta mengulas mengenai pengenalan subjek Sejarah Tingkatan 4 dan 5 oleh Kementerian Pendidikan meliputi pendedahan amali mengenai amalan demokrasi dan pilihan raya.

Beberapa elemen akan ditambah selaras dengan usaha untuk kerajaan meningkatkan pemahaman mengenai amalan demokrasi serta pilihan raya dalam kalangan golongan muda.

Praktik dalam kokurikulum

Zakhir Hussian juga berkata, Pendidikan politik dan pilihan raya dilihat boleh dipraktikkan dalam kokurikulum menerusi sistem pemilihan Ketua Pengawas dan Exco Badan Pengawas sebagai pendedahan awal kepada pelajar dalam menghadapi pilihan raya.

Beliau menjelaskan, pelajar yang bertanding dalam pemilihan tersebut perlu berkempen dan calon diundi oleh para pelajar.

“Ia sama seperti sistem pemilihan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di peringkat universiti. Sistem ini akan memberi kesan kepada pelajar dan dari segi mental pula, mereka akan bersedia menghadapi pilihan raya apabila umur sudah mencapai 18 tahun nanti.

“Praktikalnya, sistem seperti itu adalah yang terbaik, dan secara tidak langsung kita juga dapat melahirkan pemimpin satu hari nanti.

Zakhir Hussian juga berkata, selain guru, peranan ibu bapa juga amat penting.

“Pada masa kini anak-anak lebih cenderung kepada media sosial antaranya Facebook dan saya lihat terlalu banyak isu-isu dibincangkan serta dipaparkan .

“Ibu bapa perlu rasional dalam mengajar anak-anak mereka agar tidak mengambil keputusan terburu-buru dengan hanya mempercayai apa dibaca, sebaliknya berfikir dahulu isi kandungan yang dipaparkan.

“Pada usia muda 18 tahun ini, walaupun matang, namun pengalaman mereka dalam menentukan hala tuju kehidupan dilihat masih belum mencukupi.

“Maka, ibu bapa yang bertindak sebagai contoh kepada anak-anak patut memberi nasihat dan kesedaran walaupun undian adalah keputusan individu itu sendiri,” katanya ketika ditanya berhubung peranan guru dan ibu bapa membentuk siasah pelajar dalam memahami kepentingan undi dalam pilihan raya dan membentuk kepimpinan individu di peringkat awal usia remaja.

Baca: Sukatan pelajaran dan akses pemimpin

Ditanya mengenai sistem pendidikan kebangsaan pada hari ini, adakah boleh membentuk personaliti seorang pemimpin muda yang berintegriti pada masa hadapan, Zakhir berpendapat, sistem pendidikan sekarang sebenarnya sudah mencukupi kerana pemimpin berintegriti juga pernah dilahirkan sebelum ini.

Katanya, sistem pendidikan kebangsaan pada masa kini mahu pun dahulu tidak mempunyai sebarang perbezaan dan selama ini juga, pemimpin berintegriti turut dilahirkan.

“Cuma bezanya sekarang, anak-anak lebih terdedah kepada media sosial dan kurang mengikuti isu semasa dan juga perkembangan politik negara.

“Antara sebabnya adalah, dulu tidak banyak rancangan di televisyen dan kita hanya membaca akhbar, mendengar berita dan mengikuti perkembangan politik dalam atau luar negara menerusi surat khabar.

“Tetapi sekarang ini, anak-anak tidak lagi mengikuti perkembangan seperti itu. Mereka lebih memberi tumpuan kepada media sosial dan jarang mengikuti perkembangan seperti kita dahulu,” jelasnya.

Peranan NGO 

Dalam perkembangan sama, Zakhir Hussian berpendapat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sememangnya digalakkan memberi penerangan mengenai konsep pilihan raya kepada pelajar, khususnya yang berada di peringkat sekolah menengah.

Namun katanya, tugas NGO tersebut hanya perlu terhad kepada penerangan dan proses mengenai pilihan raya.

Ketika penerangan itu dijalankan, NGO juga tidak boleh meraih undi bagi mana-mana pihak parti politik kerana pelajar sekolah tidak boleh dan tidak sepatutnya diberi ceramah berkaitan hal politik.

“Tugas NGO adalah untuk memberikan penerangan berkaitan pilihan raya dan kesedaran mengenai pentingnya tanggungjawab untuk mengundi.

“Sekiranya NGO menjalankan aktiviti itu di sekolah-sekolah tanpa melibatkan mana-mana parti politik, saya lihat ianya memang tiada masalah,” katanya lagi.