Guru dan murid SK Mak Mandin peraga Jalur Gemilang

Guru dan murid SK Mak Mandin peraga Jalur Gemilang

Sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara yang ke 61 pada 31 Ogos ini menjadi penguat semangat kepada segenap lapisan masyarakat dalam negara ini.

Ia diraikan dengan pelbagai cara dan ragam oleh semua golongan masyarakat termasuklah murid-murid dan guru-guru dari Sekolah Kebangsaan Mak Mandin, Butterworth.

Mereka bukan saja menjadikan jalur gemilang sebagai bendera untuk dikibarkan sebaliknya jalur gemilang dijadikan tudung kepala bagi guru-guru sekolah tersebut.

Apa yang lebih menariknya guru-guru tidak kekok untuk bersama-sama dengan murid-murid menggunakan basikal pelajar-pelajar menggayakan bendera negara.

Terdapat pelajar perempuan dan lelaki yang turut menjadikan jalur gemilang sebagai pakaian sebagai meraikan sambutan peringkat sekolah tersebut semalam.

Malah lebih bergaya apabila guru-guru lelaki turut menjadikan jalur gemilang sebagai songkok mereka bersama-sama dengan pelajar pendidikan khas yang tidak sempurna.

Ketika ditemui pelajar-pelajar dari keturunan Melayu memakai pakaian Cheongsam dengan gaya tersendiri selepas membuat persembahan.

Nur khaiyisah ketika memperagakan pakaian cheongsam bersama jalur gemilang di SK Mak Mandin.

Manakala pelajar keturunan Cina dan India turut memperagakan pakaian yang pelbagai sempena sambutan kali ini.

Nur Khaiyisah Abdullah, pelajar tahun tiga ketika ditemui dengan pakaian cheongsam amat teruja dengan pakaian yang diperagakan sempena sambutan kemerdekaan kali ini.

“Saya tidak merasa kekok memakai pakaian tradisional masyarakat Cina.

“Walaupun ini kali pertama saya memperagakan pakaian ini, ia membuktikan negara ini kaya dengan pelbagai budaya.

“Selepas ini saya ingin cuba memakai pakaian lain-lain bangsa juga sempena menyambut hari kemerdekaan negara kita, ” ujarnya ketika ditemui.