Guru dituduh ‘boo’ ibu murid ambil tindakan undang-undang, hantar LOD lepas rasa maruah dipijak

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian daripada seorang ibu yang mendakwa diberi layanan buruk oleh guru anaknya ketika mencari kanak-kanak berkenaan kerana dikatakan hilang sewaktu mahu menjemputnya pulang dari sekolah.

Menurut wanita itu, kejadian berlaku pada 21 Februari lalu di mana guru kepada anaknya dikatakan bersikap sambil lewa ketika diberitahu mengenai kehilangan murid Tahun Satu terbabit yang tidak ditemui di kawasan menunggu.

Sang ibu juga mendakwa telah dilaungkan teriakan ‘boo’ oleh guru-guru sekolah selepas anaknya berjaya dijumpai tidak lama kemudian ketika menunggu untuk diambil di pagar bahagian belakang.

Perkongsian dimuat naik di akaun TikTok milik ibu kepada murid terbabit telah menimbulkan perbincangan hangat di mana rata-rata pengguna mengecam sikap guru yang dikatakan tidak bertanggungjawab.

Hantaran itu turut mencuri tumpuan bekas guru dan aktivis sosial iaitu Cikgu Fadli Salleh yang mempersoalkan kesahihan kejadian sebelum berkongsi kronologi sebenar selepas mendapat maklumat daripada individu terlibat.

Menurut Fadli Salleh, sebahagian besar fakta kejadian itu tidak sama seperti yang ditularkan oleh murid ibu terbabit melalui beberapa hantaran dan siaran langsung di akaun TikTok milik wanita berkenaan.

Aktivis itu juga telah mempertemukan guru kelas murid terbabit dengan peguam, Mahmud Abdul Jumaat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sang ibu kerana menyebarkan perkara tidak benar dan maklumat peribadi pendidik yang terlibat.

Rupa-rupanya, anak wanita terbabit hanya ‘hilang’ dalam tempoh kurang 10 minit kerana menunggu di kawasan yang salah berikutan sekolah tersebut menentukan dua lokasi keluar bagi mengurangkan kesesakan jalan.

Kronologi sebenar kejadian dikongsikan oleh Fadli Salleh menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya.

“Terlalu banyak fitnah, buli siber terhasil dari perkongsian wanita tersebut dan hantaran asal seorang guru tuisyen. Jadi kita lawan di mahkamah ya. Akhir kata, kejadian anak ‘HILANG’ hanyalah kisah yang banyak ditokok tambah.

“Disorok banyak fakta dan terselit fitnah. Murid tersebut sebenarnya TIDAK HILANG. Kurang 10 minit sudah dapat pulang dari sekolah terus. Hilang apa benda tak sampai 10 minit?

“Yang bukan main komen kata-kata hentam dan ugutan di hantaran guru tuisyen serta video di akaun Tiktok wanita tersebut, hati-hatilah ya. Kemungkinan kalian pun terpalit sama. Paling kurang, dipanggil untuk jadi saksi,” katanya.

Difahamkan, guru dikenali sebagai Cikgu Sya yang mana maklumat peribadinya telah ditularkan oleh ibu terbabit berpendapat bahawa masalah mereka sebenarnya boleh diselesaikan dengan baik.

Namun tindakan sang ibu yang telah memberikan kesan negatif termasuk maruahnya dipijak-pijak mendorong guru terbabit memilih jalan terakhir dengan mengambil tindakan undang-undang.

Baca juga: Rompak mangkuk tandas dalam masa 5 minit, ramai terkejut bila tahu harga sebenar cecah 15 juta!