Guru era pandemik: Beban yang tak tertanggung

Oleh NASUHA RAHMAN

Pandemik Covid-19 yang semakin berlarutan akibat kegagalan pemimpin mengurus situasi. Lebih malang lagi kegagalan itu sudah pun melarat kepada kegagalan mengurus pendidikan semasa pandemik. Ibubapa mula tertekan untuk menyara kehidupan keluarga setelah PKP 3.0 dikuatkuasakan, manakala murid-murid dari golongan keluarga tertekan mula diabaikan atau terpaksa mengabaikan pendidikan mereka.

Golongan ini mampu memilih sama ada masalah ini diabaikan atau diteruskan. Namun, guru mahupun pendidik terpaksa duduk dalam masalah ini atas kapasitinya sebagai penjawat awam. Mereka tidak boleh mengabaikan permasalahan ini kerana mereka dibayar gaji untuk menjalankan amanah yang diberikan. Ia seperti janji mereka setiap kali sambutan Hari Guru apabila mereka menyanyikan lagu ‘Kami Guru Malaysia’, ada sebaris liriknya berbunyi:

“Amanah yang diberi,

kami tak persiakan,

Apa yang kami janji,

Tunai tetap kami tunaikan.”

Lirik ini merupakan ikrar guru-guru Malaysia dimana mereka akan tetap menjalankan tugasnya walau apa sekali cubaan dan halangan. Harus diingat janji ini adalah asas jati diri guru-guru. Sebab itulah beberapa hari yang lalu, media melaporkan ada seorang guru datang melawat anak muridnya yang sedang dalam kesusahan. Itulah ada antara sebahagian kecil bukti peranan guru yang dicurahkan kepada anak murid mereka. Ada bermacam-macam lagu peranan lain yang dijalankan oleh guru.

Situasi ini lebih meruncing apabila guru ingin menjalankan amanahnya sebagai pendidik tetapi bertembung dengan pengurusan pendidikan yang serba caca-marba. Mana tidaknya, jika masa PKP 1.0 dilaksanakan, guru dan ibubapa boleh menerima situasi baru ini dengan seribu kekurangan dalam pengurusan pendidikan, tetapi kini sudah masuk tahun kedua, ia tetap celaru. Malah bertambah celaru dengan pelbagai SOP baru.

Pertama, terdapat dua jenis pelaksanaan jadual belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) iaitu disusun secara anjal mahupun tidak anjal. Jadual anjal merujuk kepada kebebasan guru menentukan waktu dan kaedah pengajaran dengan persetujuan murid untuk melaksanakan PdPR pada hari tersebut. Pihak sekolah akan menetapkan pada hari tersebut mata pelajaran yang perlu diajar bagi kelas yang terlibat. Makanya, dalam sehari, murid mempunyai 3 atau 4 kelas sahaja.

Manakala, jadual tidak anjal adalah jadual dikuatkuasakan sama seperti jadual semasa bersemuka. Daripada jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengahari, murid akan duduk menantikan guru mengajar PdPR silih berganti sama seperti bersemuka. Bayangkan dari pagi sehingga tengahari, guru dan murid terpaksa menggunakan data dengan jumlah yang banyak untuk hadir PdPR separuh hari! Hasil kaji selidik, banyak sekolah menggunakan kaedah jadual tidak anjal. Hal ini menyebabkan kos guru meningkat untuk membeli data jalur lebar. Jika guru tidak punya jalur lebar, guru tidak boleh berada diatas talian dan PdPR tidak boleh dilaksanakan. Sehari, guru perlu menanggung kos jalur lebar untuk 2 atau 3 kali kelas berbanding jadual tak anjal, dimana guru perlu berada dalam talian sekali sehari sahaja.

Barang diingat, guru juga penjawat awam yang perlukan gaji mereka untuk membayar komitmen kehidupan mereka. Jika pendapatan tersebut beralih kepada kos PdPR, apakah situasi kedudukan kewangan mereka sekarang ini? Selain itu, bukan semua guru berkahwin dengan penjawat awam juga, ada pasangan mereka yang terjejas pendapatan akibat pelaksanaan PKP. Pastinya ia menggangu pengurusan kewangan keluarga guru. Tetapi atas tanggungjawab sebagai penjawat awam, ia terpaksa diteruskan walaupun beban ditanggung seribu kali.

Kedua, sejak beralih daripada bekerja di sekolah menjadi bekerja dirumah, kita dapati tugas guru sudah tidak mengambil kira waktu lagi, sepanjang 24 jam mereka ditekan bertalu-talu dengan pelbagai arahan dan tugasan. Memandangkan mereka tidak boleh bersemuka, tekanan untuk menyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang ditetapkan menjadi maksima. Hampir sepanjang masa, pelbagai data perlu disegerakan. Yang melucukan, tugasan-tugasan ini tidaklah wujud semasa bekerja di sekolah dahulu. Jika guru berperanan sebagai pendidik dalam tempoh 24 jam, ia tidak menjadi masalah, kerana ia adalah asas dan kejiwaan guru yang mampu dituruti oleh guru-guru. Malangnya, dalam tempoh 24 jam, hanya 6 jam sahaja guru bertugas sebagai pendidik, manakala selebihnya adalah tugas pengkeranian ataupun yang bukan secara langsung kepada pendidikan murid. Adakah guru bertugas sebagai pendidik atau petugas pengkeranian ? Semua boleh menjawabnya.

Ketiga, begitu banyak pembuktian yang harus guru-guru lakukan sebagai bukti mereka telah menjalankan PdPR. Ada sekolah yang perlu membuat pelaporan mengajar PdPR sehingga 3 set. Mungkinkah ia untuk JPN, PPD dan sekolah. Mengapakah pelaporan tersebut dibuat berasingan sedangkan mereka semua merupakan dari satu laluan autoriti yang sama. Tidak bolehkah laporan pihak sekolah digunakan juga oleh pihak PPD, JPN mahupun KPM. Jika ada alasan bahawa ia diperlukan untuk dianalisa dan data untuk kemajuan seterusnya, tetapi sehingga kini, KPM tidak pernah membentangkan apa-apa prestasi PdPR kepada umum yang menyebabkan pelaporan itu hanya sia-sia. Pelaporan ini perlu diminimumkan. Jika tidak mempercayai guru telah menjalankan tugas, bolehlah pentadbir menyemak dengan murid-murid tertentu untuk di soal selidik secara berkala. Saya yakin, guru-guru lebih menginginkan PdP secara bersemuka akibat beban yang banyak sejak PdPR, tetapi ia dihalang dengan risiko nyawa setelah kes Covid-19 terus meningkat.

Dalam tempoh ini, KPM harus memberikan arah tuju yang jelas buat pada pentadbir diperingkat sekolah agar mereka tidak menjalankan tugas secara sendiri-diri. Jika ia mendatangkan manfaat pada murid, mungkin boleh diterima, tetapi jika sekadar mengada-adakan sesuatu sebagai tanda bekerja semata-mata, beban ini sudah tak tertanggung oleh guru. Pentadbir sekolah yang telah terlatih khususnya kemahiran konseptual mampu memimpin semasa pandemik ini, tetapi jika pentadbir yang masih baru, mereka perlu diberikan panduan secara jelas oleh KPM agar diri mereka dan guru-guru tidak terbeban.

Seterusnya, bagi sekolah menengah atas, tahun ini merupakan tahun pertama SPM dijalankan menggunakan sukatan pelajaran yang baru iaitu KSSM, tetapi sehingga kini, kerja kursus dengan konsep baru masih gagal untuk dilaksanakan akibat penutupan sekolah. Didapati tugasan buat guru dan murid masih memerlukan mereka bersemuka, atau dalam erti kata lain ia tidak diolah mengikut konsep PdPR. Jika sebelum PdPR muncul, calon SPM memerlukan 3 hingga 4 bulan untuk menyiapkan tugasan kerja kursus mereka, itupun dalam bentuk bersemuka! Namun apabila PdPR muncul, tempoh masanya menjadi suntuk, itupun jika jangkaan mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak meleset. Sepatutnya dalam tempoh ini, Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM) perlu menyelaras atau mengubah format kerja kursus agar lebih bersesuaian dengan era pandemik ini. Kecelaruan ini hanya menambah beban guru yang terpaksa mengejar murid-murid untuk menyiapkan walaupun kaedah yang diperturunkan oleh LPM tidak relevan langsung. Belum lagi soal menghabiskan sukatan mahupun memahami format baru kertas peperiksaan.

Sudah tiba masanya, KPM dan jabatan-jabatan dibawahnya menganalisa semula keperluan tugas-tugas guru yang perlu mahupun tidak. Rombakan ini perlu bagi memastikan guru tidak menanggung beban yang tak tertangung lagi! Walaupun guru penjawat awam, jika peranan mereka sebagai pendidik dibakul sampahkan akibat kurangnya pemimpin pendidikan melihat keperluan semasa mengaibatkan tugas mereka sebagai pendidik terjejas dan melahirkan generasi yang tidak berpendidikan.