Guru harus bijak tangani permasalah `murid mithali’ , kata Exco

Guru harus bijak tangani permasalah `murid mithali’ , kata Exco
Aminolhuda Hassan (dua dari kiri) merasmikan Program Ziarah Cakna.

Pengalaman seorang guru dalam menangani permasalahan di kalangan murid di sekolah amat penting terutama dikalangan murid mithali, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan.

Beliau yang merupakan bekas pendidik turut berkongsi pengalaman mengenai seorang murid cerdik dan anak mithali (murid yang menjaga ibu bapa) yang bermasalah di sekolah.

“Saya ada pengalaman sewaktu mengajar di Maktab Sultan Abu Bakar, terdapat seorang murid yang bermasalah untuk hadir ke sekolah mengikut waktu yang ditetapkan.

“Murid itu sentiasa lambat. Akhirnya selepas didekati murid itu ternyata dia setiap hari terpaksa memberi ayahnya yang sakit makan terlebih dahulu sebelum ke sekolah dan kebetulan ibunya telah meninggal dunia.

“Saya dan beberapa orang guru lagi menubuhkan jawatankuasa bertindak untuk menyelesaikan permasalahan murid seperti itu.

“Ternyata hasil dari penubuhan jawatankuasa itu kita dapat selamatkan murid berkenaan untuk lulus dengan cemerlang sehingga mendapat 11A+ dalam keputusan SPM beliau,” katanya katika berucap dalam program Ziarah Cakna Peringkat Daerah Batu Pahat 2019.

Dalam program tersebut beliau telah menyambut baik cadangan bagi mengadakan Ziarah Cakna ini sebagai suatu pendekatan baharu untuk guru menyelami permasalahan murid mereka.

Selain itu beliau menyatakan tindakan menghukum semata bukanlah suatu langkah yang terbaik dalam mendidik anak murid ketika ini.

“Program ini baik bagi menyelami masalah murid di sekolah. Saya juga berharap agar pembabitan orang ramai khususnya PIBG dalam mengembleng tenaga bagi menjayakan program ini.

“Selain itu, guru-guru dan pihak PIBG perlu mempunyai kreativiti bagi mendampingi murid di sekolah agar permasalahan yang mereka lakukan dapat diselesaikan serta sekaligus membantu murid tersebut.

“Terkadang ada murid yang cerdik tapi bermasalah dan ada murid yang kurang cerdik namun dari segi displin ia terbaik. Ada juga murid yang kurang dari sisi kedua-duanya, maka tugas guru adalah membantu mereka untuk mencapai kemahiran yang mereka ada.

“Bukan setakat teori atau sistem pembacaan semata, kemahiran juga adalah salah satu sektor pendidikan yang perlu diterapkan hari ini,” ucapnya lagi.

Program Ziarah Cakna telah diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Nan di Batu Pahat Johor.