Malaysia Dateline

Guru mengajar 1

Guru ini mendedahkan sebab apa ramai guru mahu bersara awal

Guru ini mendedahkan sebab apa ramai guru mahu bersara awal. Dianggarkan lebih 10,000 guru menghantar permohonan bersara awal setiap tahun sejak beberapa tahun lalu. Jumlah berkenaan menyamai kadar guru bersara wajib.

Berdasarkan laporan dari seluruh negara, sebahagiannya berusia awal atau pertengahan usia 50-an. Ini adalah trend membimbangkan kerana negara kehilangan guru berpengalaman

Ianya menimbulkan kebimbangan sekiranya tiada tindakan diambil bagi membendung masalah guru bersara awal yang dilihat semakin meningkat.

Masalah ini didedahkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengakui bahawa pandemik Covid-19 mungkin menyumbang kepada trend itu, selain keperluan pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang meningkat, ditambah dengan tanggungjawab bukan mengajar yang membebankan guru.

Guru ini mendedahkan sebab apa ramai guru mahu bersara awal
Trend guru mahu bersara awal membimbangkan

Seorang guru melalui akaun Facebooknya Mohd Fadhli Salleh mendedahkan beberapa punca yang menyebabkan ramai dalam kalangan mereka mahu bersara awal, malah beliau juga turut merancang mahu bersara awal selepas kewangannya kukuh.

Ini luahan dan pengalaman beliau sebagai seorang guru;

Sayangnya, yang mohon bersara awal ni golongan guru berpengalaman dan power. Soalnya kenapa? Dr Radzi Jidin kata, kementerian akan meneliti hal ini.

Okeh, jujur kata, aku secara peribadi pun memang merancang untuk bersara awal. Kena kukuhkan kewangan, cari income pasif menggantikan income yang bakal hilang, dan sebaik semuanya dah sedia, InsyaAllah aku akan berundur dari dunia pendidikan.

Jika tanya aku, apa puncanya. Jawab aku kerana sistem itu sendiri. Sistem sedia ada sangat menekan dan penuh dengan pelbagai bebanan tambahan.

Selain itu faktor ‘dinosaur’ dan ‘little napoleon’ yang masih berakar umbi dalam sistem.

Kebebasan bersuara disekat dengan pelbagai ugutan halus. Apa jua dasar tak boleh dipertikai dan tak boleh kritik walau tahu ia tak betul, kena angguk saja. Baru kenaikan pangkat lancar dan tiada masalah.

Kena jadi Yes Man baru selamat dalam sistem ini. Kalau tak, habis segala benda disekat.

Yang berbeza pandangan, yang kritis, akan di ‘cop’ selama-lamanya sebagai pembangkang. Nanti kena hantar kursus untuk ‘brainwash’, kena surat tunjuk sebab, kena hadir kaunseling kena tukar, kena ugut dikenakan tatatertib.

Budaya lapok bersifat punitif, hukuman dan ugutan masih kukuh berakar umbi dalam sistem.

Belum dicerita pelbagai bebanan tambahan melangkaui tugas hakiki yakni mengajar dan mendidik murid.

Mengajar dan mendidik murid sentiasa seronok, enjoy dan menggembirakan. Langkah saja kaki keluar kelas, terus terasa beban menimpa-nimpa.

PPD datang minta buat program itu program ini. Kadang programnya langsung tak sesuai dengan murid kita. Tapi tak boleh bantah apa. Kau bantah, siaplah. Kena cop haluan kiri selamanya dan akan disusahkan.

Rungutan guru tidak dipeduli. Kalau parent merungut baru cepat-cepat ada tindakan. Sistem hari ini ‘merajakan’ murid dan ibubapa dan kurang menjaga kebajikan para guru.

Tiada keterbukaan dalam sistem. Tiada orang berani nak bersuara tegur perkara yang mereka yakini salah dan tak betul. Masing-masing menjaga periuk nasi sendiri.

Dan akhirnya, lahir ramai guru yang sekadar guru tapi hilang jiwa sebagai seorang pendidik. Pada aku, begitulah.

“Pernah lalui pengalaman pahit ditekan sistem, diugut, dikenakan tindakan, disekat pelbagai peluang “.