Jika tiada angin, masakan pokok bergoyang. Barangkali peribahasa ini sesuai dikaitkan dengan isu yang hangat diperkatakan dalam kalangan guru baru-baru ini.
Pada 22 Januari lalu, guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan berpolitik berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa perkara itu telah diputuskan Kabinet bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini golongan berkenaan dilarang untuk berpolitik.
Benarkah alasan sedemikian menjadi puncanya atau apakah di sebalik membenarkan para guru terlibat politik?
Hakikatnya, sebelum ini pernah diedarkan notis pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai dalam kalangan mereka diberi amaran untuk diambil tindakan.
Selain itu, menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bil 9 Tahun 2010 hanya membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 aktif dalam bidang politik, namun perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan kerana terdapat beberapa syarat yang ditetapkan sebagai penjawat awam.
Namun, membenarkan guru sekolah dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara untuk berpolitik adalah satu keputusan yang tergesa-gesa dan tidak sesuai memandangkan tugasan hakiki guru sudah sangat membebankan.
“Keputusan itu perlu dikaji semula atau dibahaskan di peringkat Parlimen kerana tugas guru untuk menggalas tugas pendidik dalam masa sama sebagai ahli politik boleh memberi kesan kepada masa depan anak bangsa,” kata Aktivis Sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.
Ia perlu dikaji berikutan implikasi daripada keputusan itu boleh memberi kesan kepada semua pihak termasuklah generasi masa depan.
“Tugas seorang guru di bilik darjah menuntut pelbagai cabaran ditambah lagi negara berdepan dengan pandemik COVID-19 yang memberi impak kepada semua lapisan masyarakat terutama sistem pendidikan negara.”
Tegas beliau lagi, apabila guru dibenarkan terbabit dalam bidang politik, ini boleh mewujudkan situasi tegang dan menjejaskan kualiti pendidikan sekiranya mereka gagal membahagikan antara tugasan hakiki dan politik.
Ada udang di sebalik mi?
Melihat kepada pengumuman yang drastik itu, pelbagai pihak khususnya guru tampil menyuarakan pandangan mereka.
Menurut pengguna Facebook Saharuddin Abdulla berkata: “Ada pro dan kontra apabila dibenarkan secara terbuka. Jangan sampai timbulnya perpecahan dan berpuak-puak dalam kalangan guru. Paling malang jika isu kepartian dibawa masuk ke dalam bilik darjah bersama dengan anak-anak didik.”
Kata pengguna lain, Aizat Aziz pula, “Clarify molek, untuk parti memerintah sahaja atau untuk kedua-dua belah pihak?
“Boleh je..asalkan tidak mengabaikan tugas,” kata Adzahar Salleh pula.
Pengguna akaun Mohd Nadzri berkata, tiada masalah, sambil mengingatkan bahawa politik hanya di luar sekolah, perlu bersikap neutral apabila masuk sekolah.
“Boleh berpolitik untuk mana-mana parti politik ikut cita rasa kita atau kena berpolitik untuk parti yang sudah ditentukan? Paksa rela. Kena bagi clear tu, jangan nanti ada meja kerusi pula terbang di sekolah,” ujar Masquerana Sergio dengan sarkastiknya.
Dalam pada itu, Zamzuri Ghazali memberi maklum balas secara sinis bahawa ia adalah tanda-tanda Pilihan Raya umum (PRU) sudah tidak lama dan guru bertukar ‘penganalisis politik’ Facebook.
“Politik dalam kelas pun dah jenuh, ini kan pula nak politik kat luar kelas dan sekolah,” bidas Shamsul Shuhaimi Shaari meluahkan rasanya.
Menerusi FB Ajai Komeng pula, dia memberikan satu respons yang tular, “Mereka dah lama lalai. Kita je baru nak rancang.”
Begitulah sebahagian suara-suara rakyat Malaysia yang melihat keputusan yang dibuat kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini.
Tinggalkan profesion perguruan?
Menurut Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Rahim, guru yang berhasrat untuk aktif berpolitik sebaiknya meninggalkan profesion perguruan daripada membawa perkara yang tidak baik seterusnya memburukkan lagi sistem pendidikan negara yang dilihat rapuh ketika ini.
“Kita sering mendengar keluhan guru yang terbeban dengan tugasan hakiki, selain tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyediakan rancangan pengajaran, menghadiri kelas, mengajar, menilai, menjalankan aktiviti, hadir di kursus dan mesyuarat serta menyelesaikan tugas pentadbiran mereka.”
Tegas beliau lagi, para pelajar hampir tidak mendapat pendidikan yang baik sejak dua tahun lalu.
Malah, terdapat jurang pembelajaran yang tidak memuaskan dan perkara itu perlu diperbaiki supaya pelajar mencapai standard dan tanda aras yang ditetapkan.
Sewajarnya, kerajaan tidak membenarkan politik masuk ke sekolah di saat sistem pendidikan negara dalam situasi genting.
“Sepatutnya perlu difikirkan langkah untuk memantapkan sistem pendidikan di saat negara berdepan pandemik Covid-19 sehingga Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dijalankan dan kini sesi persekolahan secara bersemuka baru bermula.”
Realitinya, ini adalah waktu terbaik untuk memulihkan kembali semangat pelajar dengan komitmen guru yang sentiasa memberikan khidmat terbaik bagi melahirkan generasi muda yang kompeten dan berkualiti, bukannya ketinggalan.
Dalam pada itu, Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) berpendapat, jika kelulusan serta-merta untuk guru berpolitik boleh dibuat, golongan pendidik gred DG41 hingga DG48 berjawatan seperti penolong kanan, guru besar atau pengetua juga harus dibenarkan memegang jawatan khususnya dalam kesatuan guru.
“Akta Kesatuan Sekerja 1959 sewajarnya dipinda bagi membolehkan pendidik DG41 hingga DG48 yang berjawatan aktif berpersatuan atau dalam kesatuan memandangkan golongan itu sudah dibenarkan terbabit dalam politik,” kata Presiden KGMMB, Jasni Md Kechik.
Menurutnya, akta yang hanya membenarkan guru DG41 hingga DG48 tidak berjawatan memegang jawatan atau terbabit dalam kesatuan guru adalah satu keperluan
Namun jika kelulusan serta-merta guru boleh berpolitik, guru gred DG41 hingga DG48 berjawatan seperti penolong kanan sekolah, guru besar atau pengetua juga harus dibenarkan memegang jawatan, khususnya dalam kesatuan guru.
Mampukan situasi guru yang mengabaikan tugasan hakikinya itu ditangani jika keputusan itu diteruskan?
Kebenaran itu tanpa garis panduan konsisten?
Kata Tan Sri Lee Lam Thye lagi, pembabitan aktif seorang guru dalam politik boleh mencetuskan konflik antara rakan seperjuangan, pentadbir dan sekiranya tiada kefahaman sama antara mereka dan tentunya implikasi ini memberi kesan jika ada guru yang gagal mengawal emosi akibat pengaruh politik yang kuat.
“Saya berharap perkara ini dapat ditimbang semula memandangkan kita bukanlah terhad masa atau keperluan golongan guru untuk berpolitik,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat berharap jika keputusan itu diteruskan, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) meletakkan garis panduan konsisten dalam usaha memastikan tiada isu bertentangan membabitkan sekolah dan pelajar.
“Guru yang mahu aktif berpolitik perlu mengikut syarat dan kriteria yang digariskan oleh pihak berkenaan serta perlu dipatuhi. Garis panduan perlu jelas dan menjadi sempadan sejauh mana guru boleh berpolitik tanpa mengganggu tugasan hakiki mereka sebagai individu yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada anak bangsa.”
Tentunya semua itu perlu dijelaskan secara terperinci bagi mengelakkan sebarang isu dan permasalahan luar jangka membabitkan guru, pentadbir, ibu bapa dan pelajar terutama membabitkan pengaruh politik.
Sekadar retorik?
Bagi para guru yang meminati politik, mendengar keputusan ini seolah-olah seperti ‘pucuk dicita, ulam mendatang’ kerana mempunyai kecenderungan tersebut.
Tetapi, bagi yang tidak demikian, merasakan pelbagai kebarangkalian yang bakal berlaku hingga akan menjejaskan tugas hakiki sebagai seorang guru.
Pelbagai persepsi yang tergambar di fikiran para guru. Bukan mereka sahaja, tetapi rakya Malaysia tentunya. Mengapa keputusan itu dikeluarkan pada waktu ini seakan-akan menjadi petanda Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15) semakin menghampiri?
Pada sisi lain, dapat dilihat bahawa pihak kerajaan seakan kekurangan ‘tenaga atau pengikut’ untuk mengekalkan kedudukan kuasanya.
Apa yang menjadi tanda tanya yang wajib dijawab oleh Perdana Menteri dan pihak kerajaan, yang kononnya membenarkan para guru terlibat politik adalah kerana menghormati prinsip demokrasi ialah, bagaimana prinsip demokrasi bagi kakitangan awam yang lain?
Adakah prinsip demokrasi itu ‘terhijab’ untuk mereka yang bukan guru? Janganlah keputusan yang tergesa-gesa yang dibuat ini menjadikan arena perguruan terabai dan menjadi huru-hara serta menampakkan ketidakcerdikan pihak kerajaan untuk menjaga kepentingan kuasa mereka.
Terdahulu, penjawat awam termasuk guru dan ahli akademik telah diarah untuk melepaskan jawatan dalam mana-mana parti politik dengan serta-merta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dalam surat bertarikh 8 Disember 2021 mengeluarkan arahan pembatalan kelulusan penglibatan penjawat awam dalam politik bagi warga KPM.
Menurut surat tersebut, semua pegawai awam di semua peringkat kumpulan atau gred tidak dibenarkan sama sekali bertanding atau memegang jawatan atau dilantik dalam apa-apa jawatan dalam sesebuah parti politik
Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia