Malaysia Dateline

Guru lebih penat kendali kelas atas talian, ramai murid ‘hilang’

Golongan guru mengakui perjalanan kelas secara atas talian adalah lebih memenatkan, selain ada yang berasa tertekan berbanding menjalankan kelas bersemuka bersama para pelajar.

Menerusi satu temubual bersama seorang guru dan felo di Persatuan Teach For Malaysia, Chia Yaw Kwan berkata, semangat para guru bahkan kian luntur apabila hanya separuh dari keseluruhan pelajarnya menyertai kelas atas talian.

Menurutnya, guru juga sering berasa hampa apabila usaha keras mereka menyediakan slaid dengan pelbagai mekanisme untuk menarik perhatian pelajar, akhirnya tidak dapat digunakan kerana adanya kes pelajar tidak hadir langsung dalam sesi yang dijalankan.

“Sebenarnya kelas online lagi penat berbanding kelas bersemuka kerana penyediaan bahan lebih memakan masa. Kita kena sediakan slaid sebelum mula kelas.

“Bila mula kelas, anak murid pula tidak datang. Memang kita kecewalah sebab kita sudah sediakan banyak barang tapi yang hadir cuma beberapa orang.

“Memang ketika itu akan rasa hilang semangat (demotivated) sikit. Cikgu-cikgu di sekolah kadang ada yang tertekan kerana mereka perlu memantau anak mereka juga,” jelasnya.

Yaw Kwan berkata demikian dalam satu temubual di Facebook bersama panel Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Ahmad Kamal Nik Ahmad.

Hanya beberapa orang murid yang hadir kelas atas talian selepas guru penat menyediakan bahan mengajar.

Hal itu turut disokong alumni persatuan tersebut, Julianna Rushdi yang berkata, selain kelas online, guru-guru juga masih lagi terikat untuk menghantar kertas kerja dan laporan setiap kali selesai sesebuah kelas.

Beliau juga membangkitkan masalah besar dihadapi guru apabila pelajar tingkatan lima kembali ke sekolah awal tahun ini tetapi pada masa sama guru perlu melaksanakan kelas atas talian untuk pelajar tingkatan satu hingga empat.

Julianna menyifatkan lunturnya semangat guru dengan bebanan kerja adalah benar, apatah lagi apabila sebahagian masyarakat juga tidak menyokong pekerjaan mereka.

Ini berikutan terdapat komentar warganet yang mempersoalkan kewajaran membayar gaji guru sewaktu tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR).

“Di rumah kita kena rancang bahan belajar. Tapi sekarang kerja jadi dua kali ganda. Menjadi sangat tiada semangat apabila pelajar tidak sertai kelas.

“Sampai satu tahap, kita boleh nampak pelajar pun sebenarnya sudah tidak bersemangat sehingga lama-kelamaan cikgu pun demotivated.

“Tambah kecewa apabila ada komen-komen di media sosial yang persoalkan pembayaran gaji penuh pada cikgu.

“Memang frust apabila komuniti tidak sokong cikgu dan sistem pendidikan,” kata Julianna lagi.