Guru Malaysia kongsi kerenah pelajar sekolah rendah di AS, boleh pula tunjuk isyarat lucah siap cakar tangan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang guru berkongsi realiti sebenar mengajar pelajar sekolah rendah di Amerika Syarikat yang ternyata jauh lebih mencabar dari mengajar di Malaysia.

Ingatkan mengajar di sekolah luar negara akan lebih seronok, namun sangkaan guru itu jauh meleset apabila pelajar di sana menunjukkan sikap yang agak agresif kepada guru mereka.

Guru itu yang menggunakan akaun TikTok @jaibhrdn berkongsi video memaparkan pelajar di sana tanpa segan silu menunjukkan isyarat lucah kepadanya selain menyebabkan perabot serta buku di dalam kelas bertaburan.

“Kan best kalau kerja dekat sekolah rendah di USA,” demikian kapsyen pada video tersebut.

Berdasarkan video dikongsi, terlihat kesan cakaran pada tangan guru itu yang dikatakannya menjadi tempat pelajar meluahkan perasaan.

Beliau juga dilihat terpaksa melayan kerenah pelajar yang keluar dari kelas untuk menyorok dan ada juga yang lebih ekstrem apabila sanggup keluar dari perkarangan sekolah.

Bahkan, pelajar di Amerika Syarikat juga tampil berani melawan kata guru terbabit. 

Hantaran lelaki ini terbukti telah meraih perhatian netizen tempatan apabila berjaya meraih lebih 2 juta jumlah tontonan.

Rata-rata netizen meluahkan rasa terkejut dengan perangai pelajar di sana kerana kelihatan terlalu agresif dan tidak beradab terhadap guru mereka. 

Ada individu bergelar guru juga menyatakan kesyukuran tidak perlu menghadapi masalah sebegini ketika mengajar di sini.

Netizen turut membandingkan pelajar di Malaysia jauh lebih bagus walaupun nakal berbanding dengan pelajar di negara itu

Baca juga: Kecewa Najib tak diberi pengampunan penuh, betul ke Umno tarik sokongan dari kerajaan?