Malaysia Dateline

Guru mesej “babi, pergi mati”, pelajar SPM terganggu

Entah mengapa seorang guru menghantar mesej berbunyi “babi, pergi mati” kepada pelajarnya yang sedang mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Akibatnya, pelajar perempuan itu mendakwa fokusnya untuk menduduki SPM terjejas selepas guru itu pula dilihat marah apabila ditanya mengapa berbuat demikian.

Hal itu mendapat perhatian di laman sosial selepas satu bebenang dimuat naik di laman Twitter @naezeyra kelmarin.

Menurutnya, dia telah menerima satu hantaran mesej ‘jelik’ menerusi aplikasi Telegram daripada gurunya itu pada pukul 8.20 malam, namun telah dipadam serta-merta.

Menerusi perkongsian tangkap layar perbualan bersama gurunya, kelihatan reaksi gurunya pula seolah-olah tidak membuat hantaran berkenaan dan ‘berang’ apabila ditanya.

“Kenapa awak buat macam ni ? Nak saya buat laporan polis ke ? Melampau ni,” kata cikgu itu.

“Cikgu yang ‘chat’ (mesej) saya masa mula-mula tadi, kenapa ‘delete’ (padam) ?

“Saya tanya cikgu baik-baik sahaja, kot salah ‘send’ (hantar) ke tapi saya pulak yang kena?” luah pelajar tersebut.

Bagaimanapun, ketika dihubungi, guru itu turut meminta ibu kepada pelajar terbabit untuk hadir ke sekolah secara bersemuka berhubung isu yang didakwa.

Susulan daripada itu, rata-rata orang ramai turut menasihati pelajar tersebut supaya terus berhubung dengan pengetua sekolah jika mempunyai masalah yang besar.

“Lebih baik laporkan pada pengetua dan jangan sesekali letak di media sosial kerana dikhuatiri akan jadi lebih teruk,” ujar nizam16894.

“Senang je, lapor pengetua terus dan beritahu saya tak boleh fokus SPM, cikgu ni mesej saya,” seloroh nyloberries.