Malaysia Dateline

Guru sekolah pondok ditangkap selepas cabul lelaki di hotel

Polis menahan seorang guru agama berusia 32 tahun di sebuah madrasah di Kampung Awah, Machang, petang semalam selepas menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan lelaki yang mendakwa dia dicabul suspek.

Mangsa berusia 30 tahun itu membuat laporan polis ke atas ustaz berkenaan yang cuba mencabulnya dengan mencium pipi dan mengesel kemaluan di paha mangsa di sebuah hotel di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, laporan tersebut diterima daripada mangsa di Balai Polis Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan.

Beliau berkata, mangsa yang masih bujang mengenali suspek dua hari sebelum kejadian di sebuah kompleks beli-belah di bandar Kota Bharu.

Menurutnya, mereka dikatakan keluar sekitar pukul 11 malam, 15 Disember lalu dengan menaiki sebuah kereta yang dipandu suspek.

“Pada 16 Disember, jam lebih kurang 1.15 pagi, suspek telah menghantar mangsa ke bilik sebuah hotel.

“Semasa berada di dalam bilik itu, suspek bertindak mencabul mangsa dengan bertindak mencium pipi dan meraba kemaluan mangsa.

“Suspek turut menggeselkan kemaluannya ke paha mangsa” jelas Shafien.

Tambahnya, tangkapan dilakukan ke atas suspek beberapa jam selepas menerima laporan di sebuah pondok agama di Machang dan kes disiasat mengikut Seksyen 377 D Kanun Keseksaan.