Guru sekolah rendah didakwa paksa murid beli insurans nyawa, JPN Selangor akui terima aduan

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka, sepasang suami isteri yang juga merupakan guru di sebuah sekolah rendah tergamak memaksa murid untuk membeli insurans nyawa daripada mereka.

Difahamkan, guru-guru terbabit didakwa akan memaksa murid untuk membeli insurans itu sebelum boleh dilantik menjadi pengawas sekolah atau Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Perbuatan guru berkenaan akhirnya terbongkar selepas ibu kepada salah seorang pelajar yang dipaksa membeli insurans tampil membuat pendedahan menerusi kiriman surat kepada beberapa pihak termasuk akhbar atas talian.

Dalam satu salinan surat, ibu terbabit mendakwa anaknya yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Simpang Lima, Klang, Selangor dimaklumkan untuk membeli insurans nyawa daripada guru-guru tersebut.

Tawaran berkenaan bagaimanapun terpaksa ditolak oleh keluarga murid terbabit berikutan mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkannya tidak dilantik sebagai pengawas, lapor Malaysia Kini yang menerima salinan surat.

Namun guru yang merupakan pasangan suami isteri itu tetap memaksa anaknya untuk membuat pembayaran bagi pembelian insurans nyawa meskipun tawaran tersebut telah ditolak.

Lebih memburukkan keadaan, ibu kepada pelajar terbabit juga mendakwa tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak sekolah selepas aduan berhubung perkara itu dilakukan.

Sehubungan itu, surat yang turut dikongsikan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Wong Kah Woh serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor tersebut dikirim dengan harapan tindakan tegas dapat diambil.

“Saya dengan penuh hormat memohon agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat supaya perkara ini tidak berulang lagi pada masa depan,” tulisnya memetik laporan Malaysia Kini.

Dalam pada itu, JPN Selangor mengesahkan pihaknya telah menerima aduan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh sepasang suami isteri yang juga guru di sebuah sekolah rendah memaksa murid-murid membeli insurans daripada mereka.

Pengarah JPN Selangor, Jafri Abu berkata, pihaknya juga masih meneliti aduan tersebut dan siasatan berhubung dakwaan dibuat oleh ibu terbabit akan dilaksanakan PPD Klang.

“Ya, betul dan dalam makluman JPN. Dalam penelitian JPN dan siasatan akan dilaksanakan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang,” katanya dalam mesej ringkas kepada akhbar atas talian itu ketika diminta untuk mengulas isu tersebut.

Baca juga: Gagal bayar caruman PERKESO, Bubblebee didenda RM17,500