Guru tergamam dipakaikan gelang emas, rupanya hadiah penghargaan dari ibu bapa

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang guru tidak menyangka bakal menerima hadiah seutas gelang emas sebagai tanda penghargaan daripada para ibu bapa kepada anak muridnya.

Malah, wajahnya yang sempat dirakam lensa kamera itu juga tampak begitu terkejut seakan tidak percaya ketika melihat gelang emas tersebut dipakaikan ke tangannya.

Berdasarkan video yang dimuat naik di laman TikTok, hadiah itu diberikan ibu bapa dalam majlis akhir tahun anjuran kelas Tahun 6 di sebuah sekolah rendah di ibu kota

Difahamkan, para ibu bapa murid kelas tersebut telah mengumpul duit daripada awal tahun dengan tujuan untuk mengadakan satu majlis akhir tahun di dalam bilik darjah.

Selepas persediaan penganjuran majlis tersebut selesai, ibu bapa mendapati adanya lebihan wang sebelum memutuskan untuk membelikan hadiah itu kepada guru kelas.

“Cikgu Shikin tidak dapat berkata-kata melihat hadiah dari anak-anak murid Tahun 6 Orbit. Jasa cikgu tiada bandingan bagi murid-murid. Ini bukan hadiah perseorangan.

“Ini adalah hasil kutipan duit kelas sejak awal tahun lagi daripada semua ibu bapa. Sebahagian duit digunakan untuk mengadakan majlis akhir tahun di dalam kelas.

@nikmaria76

Cikgu Shikin speechless dgn hadiah anak2 murid 6 Orbit ttdione. Jasa cikgu tiada bandingan pd murid2 tahun 6. Hadiah ini bukan hariah dari orang perseorangan. Ini adalah hasil dati kutipan duit kelas dari awal tahun lagi dari semua parents. Sebahagian duit yg tinggal diginakan utk buat parti akhir tahun kelas dan baki untuk belikan hadiah kepada cikgu class atas jasa cikgu menjaga anak2 murid class 6 orbit dgn baik. Alhamdullilah n terima kasih atas jasa baik cikgu selama murid2 berada dibawah jagaan cikgu. Dan salam perpisahan dari murod Tahun 6 Orbit 🥰 #classof2023ttdione #fyp

♬ Memori Tercipta – 🐝pië

“Bakinya ibu bapa guna untuk belikan hadiah atas jasa menjaga anak murid selama berada dibawah jagaan cikgu. Salam perpisahan dari murid Tahun 6 Orbit,” tulis pemilik video.

Tular di media sosial, video tersebut telah berjaya mencuri perhatian ramai sehingga meraih lebih 1 juta tontonan dan 35,000 tanda suka daripada pelayar aplikasi TikTok.

Rata-rata pengguna berpendapat bahawa guru tersebut merupakan pendidik yang baik sehinggakan ibu bapa murid sanggup membelikan hadiah berharga kepadanya.

Ada juga individu tampil berkongsi pengalaman sebagai murid yang rela mengumpul wang bersama rakan sekelas semata-mata untuk memberikan hadiah kepada guru.

“Dulu masa tahun 1997 sebelum ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami sekelas kumpul seorang RM3 belikan cikgu cincin emas. Masa itu emas murah lagi,” kongsi seorang pengguna.

“Mesti bukan saja (belikan gelang emas). Mungkin cikgu ini sangat menyenangkan bagi ibu bapa. Terima kasih cikgu. Semoga terus berjaya.” Kata pengguna lain.

Baca juga: Isu pembatalan 16 enakmen syariah Kelantan, Zahid tegaskan tak perlu politikkan hal tersebut