Malaysia Dateline

Guru tersepit dipaksa menipu?

Teringat saya dengan peribahasa ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Situasi yang ingin dikaitkan adalah terhadap isu guru-guru yang tidak nampak kesudahan dan penyelesaiannya.

Maka tidak hairanlah kita melihat segelintir murid-murid masa kini, akhlak dan adabnya entah ke mana. Sampai bila guru-guru perlu menyatakan kepalsuan demi menyelamatkan pihak-pihak tertentu?

Contohya, luahan beberapa guru yang didengar sendiri menyatakan mereka terpaksa menipu data Tahap Pencapaian (TP) pelajar yang sebenar bagi memuaskan pihak tertentu.

Dipaksa berikan justifikasi?

Kalau pelajar tidak hadir ke kelas, lalu guru memberikan justifikasi, maka adalah pihak yang akan kata kelas guru itu tidak menarik, guru tidak pandai tarik perhatian, guru tidak pandai buat itu ini dan bermacam lagi.

Padahal banyak faktor yang menyebabkan pelajar tidak menyertai kelas yang dijalankan yang mana masalah utamanya ialah Internet!

Bukan itu sahaja, yang berkelajuan Internet bagus pun, masih ada pelajar yang tidak membuat tugasan yang diberikan.

Jadi, apakah seterusnya?

“Kita bagi Tahap Pencapaian 3 (TP3)? Kenapa? Sebab pelajar tidak layak diberikan TP2? Apa pula justifikasinya di sini?” soal seorang guru menerusi status Facebooknya.

Beliau menyoal, siapa yang susah? Guru juga yang susah.

Begitu juga mereka yang tidak dapat menguasai membaca, menulis dan mengira (3M), tentu ia tidaklah wajar diberikan tahap yang baik berikutan penguasaan pelajar yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya.
Seperti kata Cikgu Lee, “Kejujuran dan kebolehan menyelesaikan masalah ialah orang yang bijak, bukan dengan menipu dan menutup kelemahan.”

Di mana teladannya?

Tidak terkecuali ada Guru Besar menyuruh cikgu-cikgu letak nilai TP5 atau TP6 dengan alasan untuk membantu murid memohon sekolah menengah yang baik.

Padahal Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) yang seminggu sekali itu pun pelajar langsung tidak hantar kerja tugasan yang diberi.

Dan yang paling sadis, sebab pelajar tersebut adalah anak kepada orang ‘kenamaan’.

Melihat kepada komentar guru, rata-rata meluahkan situasi yang sama, terpaksa meletakkan yang molek-molek.

“Bagi jelah TP1 dan TP2 kepada murid yang tidak kuasai kemahiran sama ada penilaian secara Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan PdPR. Kalau ibu bapa tanya, kita dah ada kuat justifikasi. Jadi, kita kena terangkan rasionalnya kenapa dapat TP1dan TP2. Biar ibu bapa itu terbuka mata mereka, pentingnya belajar dan penglibatan semasa belajar PdPc atau PdPR,” respons seorang guru.

Situasi itu tidak berkesudahan. Pelbagai ruahan dan rintihan guru-guru menzahirkan rasa mereka.

Sebagaimana seorang guru menyatakan, masalahnya jika diberikan justifikasi, guru juga yang kena.

“Cikgu dah hubungi ibu bapa? Dah maklum kaunselor, Penolong Kanan (PK) Hal Ehwal Murid (HEM)? Dah pergi rumah pelajar? Tiadanya nak terima justifikasi kita tu”.

Beliau menambah, masalahnya sudah setiap minggu dihubungi,l ulang benda sama. Penat bila dihubungi, si ibu memberitahu anak tidak hadir atau tidak sihat untuk sertai kelas.

“Hinggalah anak murid tu mesej memberitahu tidak bangun tidur. Ada yang kita hubungi, siap sekat nombor hingga kita terpaksa hubungi guna nombor lain. Jadi, apa perasaan kita sebagai seorang guru?”

Kenapa guru dipersalahkan?

Melihat kepada ‘tragedi’ begini, seorang guru bernama KK Fong menyifatkan dalam isu ini, semua salah ditujukan kepada cikgu sahaja.

“Kita tidak pandai menarik minat murid masuk kelas. Kena jadi badut kot masa mengajar tu baru dapat tarik minat mereka,” ujarnya dengan nada geram.

Dalam pada itu, beberapa guru menyatakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ternyata banyak menipu daripada benarnya.

Sebilangan besar, sekolah mewajibkan minimum meletakkan penilaian TP3 padahal ada sahaja pelajar tidak layak langsung mendapatkan penilaian sebegitu.

“Apa hak pentadbir tetapkan minimum pelajar TP3, padahal kita lebih tahu pencapaian pelajar?”

Tambahnya lagi, akhirnya guru-guru terpaksa menipu, sebab melibatkan reputasi kononnya.

“Reputasi atau keberhasilan kita siapa nak jaga? Inilah hakikat. Senang cerita PdPR 100% hadir, TP3 100% semuanya.”

Guru juga yang tersepit?

Seorang guru berkata, buat peperiksaan tidak kena, buat PBD tidak kena, senang-senang tidak payah nilai apa-apa, ajar saja.

“Biasanya beri justifikasi pun, kita juga yang kena jawab balik. Apa yang cikgu buat untuk menyelesaikan masalah? Internet out, (cikgu) hantar modul tak? Murid tidur cikgu call tak? Haa, selalunya begitu,” kata Cikgu Mohd Shah.

Tidak terkecuali dalam hantaran status terdapat respon guru-guru bernada sarkastik.

“Kita memang diajar untuk menipu, tipu ‘sunat’,” kata Fi Taq.

Maznih pula berkata tidak apa, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti pasti ‘meletup’!

Menurut Cikgu Siti pula, sangat banyak cikgu dipaksa menipu sebenarnya untuk menutup kelemahan golongan-golongan tertentu.

“Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) nak rekod cantik, paksa Guru Besar. Guru Besar nak penilaian indah-indah paksa guru-guru. Maka, itulah, semua ramai-ramai menyanyikan lagu ‘Bangau Oh Bangau,” sindirnya.

Hapuskan rantaian penipuan ini.

Segalanya tidak akan terjadi jika ia tidak dimulakan. Begitulah juga sesuai dengan ‘tragedi’ yang majoriti menimpa guru-guru masa kini.

Kepincangan yang dipelopor oleh pihak atasan perlu segera dihentikan! Kerana keinginan pihak atasan, banyak guru-guru menjadi mangsa agar terus melakukan penipuan seperti ini.

Bila dilihat apa yang diluahkan oleh guru-guru, saya melihat pandemik penipuan ini perlu segera dihentikan agar ia tidak menjadi warisan yang berpanjangan.

Sampai bila keadaan ini akan berterusan? Bagaimana generasi yang berkualiti akan terhasil daripada penipuan sebegini?

Menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan untuk menjawab isu yang terjadi dan menghentikan rantaian penipuan ini.