Malaysia Dateline

Gyeongnam FC menanti JDT pada saingan ACL 2019

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan laluan mencabar selepas sah berdepan naib juara Liga Satu Korea (K League 1),Gyeongnam FC dalam kumpulan E Kejohanan Bola Sepak Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

JDT menerusi laman Facebook rasmi; Johor Southern Tigers hari ini memaklumkan Gyeongnam FC layak beraksi dalam saingan ACL musim depan setelah menduduki tangga kedua di belakang Jeonbuk Hyundai Motors  yang mengekalkan kejuaraan K League 1 yang melabuhkan tirainya bagi musim 2018, baru-baru ini.

JDT akan melayan kunjungan pasukan berkenaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 12 Mac 2019, sebelum berdepan lawan sama pada aksi timbal balik di Changwon Football Center pada 22 Mei 2019.

Menerusi undian yang dijalankan di AFC House baru-baru ini, JDT diundi dalam kumpulan E bersama naib juara K League 1, selain dua pemenang perlawanan kalah mati zon timur.

JDT dipilih mengisi slot automatik ke ACL 2019. JDT dipilih mengisi slot automatik setelah menjuarai Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Satu lagi wakil negara, Perak yang muncul naib juara Liga Super, perlu melepasi dua perlawanan kelayakan sebelum berjaya mara ke peringkat kumpulan ACL 2019.

— BERNAMA