Malaysia Dateline

Had PGK rakyat Malaysia semakin melebar, pemimpin negara terus bermewah

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia terbaharu yang menunjukkan bahawa isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,411 berbanding hanya 16,653 kadar sebelum ini. Menurut Laporan Jabatan Perangkaan itu juga menunjukkan Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional yang baharu adalah sebanyak RM 2,208 berbanding RM 980 yang diguna pakai sejak 2005. Bilangan isi rumah miskin tegar berdasarkan garis PGK baru ini pula bertambah menjadi berjumlah 27,158 pada 2019, berbanding 1,752 mengikut had lama.

Angka dan data yang didedahkan oleh Jabatan Perangkaan mengikut PGK yang baharu menunjukkan rakyat Malaysia masih ramai yang berada pada kategori miskin manakala dengan data yang sama juga menunjukkan bilangan isi rumah miskin tegar turut meningkat. Saya percaya bilangan rakyat miskin berdasarkan angka dan data di atas semakin meningkat pasca PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan sepanjang Mac-Ogos 2020. Lebih ramai pekerja yang hilang pekerjaan, dipotong gaji oleh majikan, atau perniagaan yang terjejas teruk ekoran banyak industri yang terkesan langsung oleh COVID -19.

Meskipun dikatakan gaji pekerja yang bertaraf siswazah meningkat dari tahun 2017 ke 2018 sebanyak 6.6–7.0 peratus, namun kenaikan itu tidak mencerminkan kesenangan yang dinikmati oleh majoriti pekerja. Betapa ramai pekerja yang masih bergelut dengan kesusahan lebih lagi dengan tanggungan keluarga yang ramai. Data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan purata gaji bagi pekerja di bandar adalah sebanyak RM 3,274 manakala di luar bandar sebanyak RM 2,083. Purata bagi pekerja yang tiada pendidikan rasmi sebanyak RM 1,481 sementara siswazah menerima purata gaji sebanyak RM 4,553.00. Angka-angka ini tidak terlalu jauh berbeza, dan boleh dikatakan lebih ramai berada dalam garisan kemiskinan jika mengikut tanggungan setiap keluarga.

Umum mengetahui rakyat lebih menderita ketika negara berhadapan dengan COVID-19. Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih perlahan iaitu antara 0.4 peratus hingga 2.5 peratus tahun ini, dengan potensi mengalami penguncupan pertumbuhan atau kemelesetan teknikal pada separuh pertama. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pandemik COVID-19 mencetuskan kemelesetan ekonomi global pada 2020 dengan kesan buruknya sama seperti krisis kewangan pada 2008 atau lebih buruk lagi. Manakala bagi ekonomi Malaysia, kebanyakan penganalisis tempatan dan luar negara menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan berkembang lebih perlahan berbanding unjuran kerajaan sekitar 3.6 peratus hingga 4.0 peratus.

Kadar pengangguran pula melonjak kepada 5.0 peratus berdasarkan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia. Pengangguran meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778,800 orang. Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja merasakan sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Jumlah pengangguran yang direkodkan itu (778,800 orang) adalah yang paling tinggi sejak 34 tahun lalu.

Jika dilihat pada data dan angka di atas, kedudukan rakyat di Malaysia pada tahap yang bahaya. Di saat ramai rakyat berada di jurang kemiskinan, kerajaan dilihat tidak serius menangani permasalahan ekonomi rakyat. Gaji atau pendapatan bulanan rakyat tidak menaik secara mendadak di saat harga barang konsisten naik. Jika dilihat pada harga barangan keperluan terutama harga barangan basah seperti ayam, santan, sayuran, daging, ikan dan telur yang terus meningkat, pastinya rakyat tersepit untuk berbelanja. Harga minyak petrol RON95 dan RON97 pula konsisten dengan kenaikan pada setiap minggu. Bil eletrik pula melambung tinggi. Rakyat semakin takut berbelanja, semakin ramai peniaga ‘gulung tikar’, operasi syarikat digantung atau dijual manakala kedai-kedai terpaksa dijual atau disewakan.

Ironinya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula berbelanja mewah sesama mereka dan sibuk berpolitik bagi mengekalkan kuasa. Perdana Menteri dengan rakus melantik 32 Menteri iaitu 38 timbalan menteri. Tujuh kementerian mempunyai dua timbalan menteri. Ini sangat berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya ada 27 menteri dan 26 timbalan menteri. Malah, Tan Sri Muhyiddin Yassin membazirkan wang rakyat apabila melantik Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri kepada YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang. Apalah fungsinya pelantikan itu melainkan jaminan politik untuk mengekalkan kedudukan beliau sebagai PM. Sikap boros dan tidak berhemah kerajaan PN seakan merasakan Malaysia ini hak milik mereka, dan duit daripada rakyat adalah hak mereka untuk dibelanjakan sesuka hati.

Rakyat bertambah kecewa apabila PM dengan mudah menganugerahkan Ahli-ahli Parlimen dari PN sebagai Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Sejumlah 113 anggota parlimen PN telah dilantik memegang jawatan dalam kabinet, timbalan menteri, GLC atau dilantik sebagai diplomat khas. Sudahlah mereka itu mendapat elaun wakil rakyat, diberi pula habuan sebagai Pengerusi GLC sedangkan ramai kalangan mereka yang tiada kelayakan. Inilah nasib apabila pemimpin terus kaya dengan habuan yang mengenyangkan, rakyat di bawah terus tertekan dan menderita kelaparan.

Ketika kerajaan negeri-negeri sibuk memerangi COVID-19, beliau pula berpakat dengan rakan sekutu ‘kerajaan tebuk atap’ bagi merampas negeri-negeri. Negeri Johor, Perak dan Kedah menjadi mangsa konspirasi dan percaturan tidak bijak beliau. Manakala di Selangor dan Sabah sibuk diganggunya untuk mengikut jejak negeri-negeri terbabit. Berapa pulakah wang rakyat hangus bagi ‘membeli’ wakil rakyat dalam operasi menukar kerajaan negeri-negeri? Apa janji dan ganjaran mereka yang masuk ke kemnya? Sudah tentu lumayan, kerana harganya runtuh sebuah kerajaan negeri!

Semua langkah politik Muhyiddin dilihat tidak ikhlas membantu rakyat. Rakyat sekadar digula-gulakan dengan Bantuan Prihatin Nasional, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) ibarat sebiji kek kecil yang dibahagi-bahagi untuk rakyat, sedangkan beliau dan rakan-rakan mendapat banyak keuntungan daripada kek besar yang dikongsi dengan beberapa kerat elit pemimpin.

 

Penulis adalah Ahli Dewan Negeri Meru, Selangor