Malaysia Dateline

Had umur belia, Johor buat pusingan U

Kerajaan Johor mengubah pendirian dengan menerima pindaan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, sehari selepas pengumuman untuk mengekalkan had umur belia di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, keputusan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan pada pagi Selasa.

Menurut Sheikh Umar, keputusan berkenaan juga seiring dengan pendirian Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri Johor menerima baik pindaan umur belia 15-30 tahun ini, selaras dengan keputusan yang dibuat,
“Kita menyedari bahawa perubahan yang melibatkan Akta 668 ini pastilah akan memberi implikasi dalam keseluruhan pergerakan belia termasuklah dari aspek keabsahan pendaftaran pertubuhan belia (ROY) dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan dipetik Astroawani hari ini.

Kerajaan Johor sebelum ini mengambil keputusan mengekalkan had umur belia di negeri antara 15 tahun hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka, khususnya melibatkan belia, tidak terbantut.

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pada umur 40 tahun, golongan itu merupakan kelompok yang strategik untuk membina karakter kepimpinan dalam berjuang dan mempertengahkan isu-isu semasa yang berbangkit.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, kerajaan negeri telah mengambil maklum dan akan membantu menyelaraskan hal ehwal teknikal di peringkat negeri bersabit dengan keputusan tersebut.

“Perubahan yang melibatkan Akta 668 akan memberi implikasi dalam keseluruhan pergerakan belia termasuklah dari aspek keabsahan pendaftaran pertubuhan belia (ROY) dan sebagainya.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi, pindaan ini adalah pindaan akta yang terkait langsung dengan soal perundangan. Ia bukan sekadar suatu dasar sepertimana Dasar Belia Negara yang pernah dilancarkan Perdana Menteri Najib Razak pada tahun 2015 yang lalu,” katanya lagi.