Malaysia Dateline

Had umur belia Johor: Mahathir akan batalkan keputusan jika benar dakwaan campur tangan istana

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal masih belum bertemu Perdana Menteri  Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberi penjelasan berhubung pendirian kerajaan negeri itu yang mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Sahruddin tidak memberi penjelasan dan beliau akan ditanya dan jika pendirian tersebut disebabkan campurtangan istana, maka keputusan tersebut akan dibatalkan..

“Dia tak bagi penjelasan pun (berkenaan keputusan mengekalkan had umur belia). Dia akan di tanya.

“Ada cerita kata (terdapat) campur tangan istana. Istana takde hak campur tangan. Kalau kita dapati ia adalah hasil campur tangan istana, kita akan batal kan keputusan itu,” katanya, ketika sidang media Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di Putrajaya, hari ini.

Hari ini, isu had umur belia di Johor dianggap selesai dan kerajaan negeri itu tetap dengan pendirian untuk mengekalkan had umur golongan tersebut kepada 40 tahun.

Sahruddin berkata, walau bagaimanapun, dalam tempoh sebelum pindaan Akta 668 itu diwartakan, kerajaan negeri akan melakukan perjumpaan dengan semua pihak terlibat termasuk persatuan belia.

Beliau turut berharap Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali akan bekerjasama dengan Menteri Belia san Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjayakan pertemuan itu.

“Saya rasa isu belia InsyaAllah  dah selesai,”katanya.