Had umur belia: Syed Saddiq sedia mengadap Istana Johor

Had umur belia: Syed Saddiq sedia mengadap Istana Johor

Ekoran tiga kali Johor mengubah pendirian dalam isu had umur belia, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersedia mengadap ke istana jika langkah itu boleh membantu merungkaikan masalah.

Tanpa menyebut siapa, Syed Saddiq mengakui kecewa dengan campur tangan pihak tertentu dalam isu tersebut.

Walaupun perbincangan dan persetujuan daripada kerajaan negeri sudah diperolehi, beliau berkata, kerajaan Pusat tidak akan berganjak dari ketetapan yang sudah dibuat.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu juga berkata, beliau menyerahkan hal tersebut kepada orang ramai untuk menilaikannya sendiri.

“Kita sudah bincang lama dengan Exco Belia dan Sukan setiap negeri dan dapat persetujuan, cuma di negeri tertentu mereka memohon agar ada transisi.

“Tapi ada pihak kata jangan campur tangan dalam urusan negeri… Itu saya tak faham.

“Sebab kami sudah berbincang dengan kerajaan negeri dan dapat persetujuan, tapi masih ada yang dakwa Pusat ingin masuk campur. Itu amat menyedihkan.

“Apa pun, saya bersedia untuk berjumpa Tuanku (Istana Johor) jika wujud keperluan tetapi saya tekankan lagi sekali, akta akan berkuatkuasa pada Disember 2021 dan sekarang proses transisi harus bermula,” kata Ahli Parlimen Muar berkenaan dalam sidang akhbar di Shah Alam hari ini.