Malaysia Dateline

Had umur persaraan 65 tahun hanya tertumpu dalam bidang kritikal, kata DPPM

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyarankan agar kerajaan memperhalusi semula cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meningkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun itu, tidak merangkumi semua bidang pekerjaan tetapi hanya akan tertumpu dalam bidang-bidang kritikal sahaja.

Timbalan Ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari berkata,Kerajaan tidak wajar membandingkan realiti negara kita dengan negara maju seperti Singapura yang telah melaksanakan had umur persaraan ini memandangkan Singapura terlebih dahulu melihat faktor-faktor seperti kadar kelahiran, pengambilan buruh asing dan kadar jangka hayat penduduk di negara tersebut.

“DPPM melihat cadangan ini tidak menyelesaikan masalah pengangguran semasa dalam kalangan anak muda di negara ini yang kini pada kadar 10.8 peratus, lebih tinggi berbanding Singapura (4.6 peratus), Thailand (5.9 peratus), Vietnam (7.9 peratus) dan India (10.5 pertus).

“Berdasarkan kepada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), dianggarkan seramai 238,187 orang siswazah menamatkan pengajian tahun 2018. Akan tetapi, 54,103 orang siswazah direkodkan masih menganggur selepas tamat pengajian selepas 6 bulan mengikut data bagi tahun 2017,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dipercayai mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang dipetikberkata, cadangan MTUC itu akan diteliti dengan rapi dalam beberapa aspek berikutan situasi semasa rakyat di negara ini.

Kulasegaran turut berkata, Singapura sudah meningkatkan usia persaraan kepada 65 tahun manakala negara kita berada dalam keadaan guna tenaga penuh.

“Ini antara perkara perlu diperhalusi dalam membuat keputusan yang baik pada masa depan,” kata Kulasegaran.

Justeru tambah Ahmad Fadhli lagi, kerajaan seharusnya kembali kepada janji manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memberikan 1 juta peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Namun ujarnya lagi, sehingga kini kerajaan tidak memperlihatkan perkembangan positif malahan statistik pengangguran semakin meningkat saban tahun.

“Anak muda telah dinafikan hak-hak yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan seperti PTPTN yang kini masih tidak menemui jalan penyelesaian.

“Oleh sebab itu, Dewan Pemuda Pas Malaysia menyeru kepada kerajaan dan agensi terlibat untuk mengutamakan anak muda dalam meneliti cadangan ini. Cadangan ini tidak boleh dibuat secara tergopoh-gapah seperti manifesto 1juta peluang pekerjaan sebaliknya ia memerlukan kajian yang mendalam,” tegasnya.