Malaysia Dateline

Had usia persaraan 65 tahun: Golongan muda harus diberi peluang pekerjaan, naik pangkat

Golongan muda perlu diberikan peluang pekerjaan seluas mungkin di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun adalah tidak tepat.

“Saya membantah cadangan MTUC menaikan usia pesaraan dariapda 60 tahun kepada 65 tahun.

“Perbandingan dengan negara maju tidak tepat kerana kadar pengangguran belia Malaysia 10.7% (500,000 anak muda) Jepun 3.4%; Jerman 6.2% dan SIngapura 5.9%

“Sebab itu kita (KBS) fokus dalam memberi peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda terlebih dahulu.

“Pada masa yang sama kita mahu pastikan anak muda dinaikkan pangkat kerana mereka berkebolehan dan berwawasan sepatutnya dibuka ruang seluas mungkin untuk dinaikkan pangkat,” ujarnya dalam kenyataan di ciapannya malam ini.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Kementerian Sumber Manusia yang menjawab pertanyaan media mengenai cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Sabtu yang menggesa kerajaan meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

“Tidak cukup kita mengungkapkan di bibir bahawa anak muda masa depan negara tetapi kita tidak berani mereka peluang secukupnya kepada negara tercinta,” ujar Syed Saddiq yang juga Ketua Armada Bersatu itu.

Hari ini sebagai respon kepada pertanyaan media, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, cadangan MTUC itu akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk diputuskan.

Katanya, perkara itu perlu diteliti dengan rapi dalam beberapa aspek berikutan situasi semasa rakyat di negara ini.

“Singapura sudah meningkatkan usia persaraan kepada 65 tahun manakala negara kita berada dalam keadaan guna tenaga penuh.

“Ini antara perkara perlu diperhalusi dalam membuat keputusan yang baik pada masa depan,” kata Kulasegaran.