Malaysia Dateline

Hadapkan Zawawi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, desak MP DAP

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Zawawi Salleh perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen susulan keengganannya memohon maaf selepas menyentuh isu kitab injil dalam sidang Dewan Rakyat beberapa hari lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, kebebasan bersuara di Dewan Rakyat tidak sepatutnya dijadikan sebagai lesen untuk menyinggung orang lain apatah lagi ianya bukanlah perbahasan agama.

Menurutnya juga, kenyataan menyinggung itu sepatutnya ditangani segera oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada hari kejadian atau pada hari berikutnya

“Kebebasan bersuara di Dewan tidak boleh menjadi pasport percuma untuk menyinggung perasaan orang lain.

“Itu bukan perbahasan agama. Itu adalah perdebatan mengenai undang-undang untuk diperketatkan,” katanya menerusi satu hantaran Twitter hari ini.

Terdahulu, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat minggu lalu, Zawawi yang merupakan Ketua Dewan Ulama Pas berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya ‘meminum arak’.

Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudiannya bingkas mencelah dan mengatakan bahawa kenyataan Zawawi itu tidak tepat kerana agama lain membenarkan minum arak tetapi tidak memabukkan.

Zawawi bagaimanapun ketika itu mempertahankan kenyataannya dan berkata kitab Injil telah ‘dipesongkan atau diubah’.

Justeru, Yeoh mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan komponen Perikatan Nasional (PN) yang lainnya menyokong kenyataan tersebut.

“Ahli Parlimen Pas Pasir Puteh harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan karena keengganannya untuk meminta maaf.

“PM Muhyiddin Yassin dan pihak PN lain seperti GPS, MCA dan MIC menyokong kenyataan yang menyinggung itu?,” soalnya.

“Rakyat Malaysia bersatu dalam isu ini. Pas sebagai sebahagian daripada kerajaan Persekutuan perlu tahu bahawa mereka bertanggungjawab kepada seluruh negara dan bukan hanya kepada penyokong mereka. Ada beberapa parti nasional di Malaysia, Pas jelas bukan salah satu dari mereka,” katanya lagi.