Malaysia Dateline

Hadi anggap pelampau politik anti darurat seperti jerung lapar bersembunyi dibalik batu

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kali ini menggunakan jerung sebagai perlambangan kepada pihak yang menuntut agar pelaksanaan darurat ditamatkan.

Ahli Parlimen Marang tersebut menempelak kumpulan yang menentang perintah darurat seolah-olah mereka tidak berada di planet bumi yang dilanda wabak Covid-19.

Malah, dia menyifatkan tuntutan tamat darurat hanyalah alasan bersifat politik untuk mengintai agar mendapat kuasa yang terlepas, laksana ayam terlepas tangannya berbau.

“Walaupun faktor ekonomi dan keselamatan juga yang dijadikan alasan, tetapi perkara tersebut hanyalah sekadar batu pelindung nafsu politik mereka yang sudah melampau.

“Namun, masih tidak boleh meninggalkan perangai politik gila yang melampau kerana telah kehilangan kuasa dalam khayalan berebut kuasa antara satu sama lain dalam kumpulannya.

“Sehingga merancang langkah politik laksana jerung lapar yang bersembunyi di sebalik batu kerana sukar untuk mendapatkan semula kuasa dengan segala cara yang benar dan bohong.

“Namun, jerung yang besar dan ganas itu tidak mudah untuk berlindung seperti udang di sebalik batu,” katanya dalam edisi Minda Presiden hari ini.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu turut menganggap tuntutan pihak agar darurat ditamatkan sebagai langsung tidak peduli terhadap kemungkinan bahaya yang mendatang.

“Puncanya ialah kerana bersikap melampaui batas dalam berpolitik sehingga menenggelamkan ekonomi dan keselamatan yang sekadar menjadi tempat berlindung segala kerakusan dalam politiking,” tambah Hadi lagi.