Malaysia Dateline

Hadi Awang bagi amaran pecat ahli, pemimpin langgar nilai moral

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran akan memecat bukan sahaja kepada ahli bahkan kepada pemimpin parti itu jika melakukan tindakan bercanggah dengan Islam.

Abdul Hadi berkata PAS mementingkan nilai moral yang tinggi dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu dan jika ada yang melanggarnya serta melakukan tindakan yang bercanggah dengan Islam maka mereka boleh dipecat

“Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral maka akan kita pecat dia.

“Dalam PAS, (kesalahan) yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang kedua kalau ada salah laku itu, kita serah kepada undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang gagal mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki pada Julai lepas.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata biarpun baru berusia enam bulan, pencapaian kerajaan PN adalah lebih baik dan positif berbanding era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata perbezaan jelas dapat dilihat dalam kalangan menteri PN dan PH.

“Banyak perbezaan yang boleh ditunjukkan. Kalau dahulu ketika PH, menteri-menterinya asyik sebut kerajaan dahulu dan apabila kita ambil alih (kerajaan), perbezaannya amat positif.

“Kewujudan PN sendiri adalah pencapaian terbaik yang mana kita berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan parti lain yang menyokong PN serta mendapat dukungan rakyat,” katanya dipetik Bernama.