Hadi Awang perlu berhenti hina golongan muda, kata Pemuda AMANAH Johor

Hadi Awang perlu berhenti hina golongan muda, kata Pemuda AMANAH Johor

Ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Muktamar Muslimat Pas yang mendakwa pengundi muda yang mengundi PH tidak membaca kitab telah menunjukkan sifat yang sombong sebagai seorang pemimpin di negara ini.

Taqiuddin Cheman

Ujar Ketua Pemuda Parti AMANAH Negeri Johor, Taqiuddin Cheman, tindakan menghina golongan muda itu dianggap seperti memperlekehkan tahap keilmuan seseorang sekali gus ia adalah suatu hinaan terhadap anak muda.

Ujarnya lagi, anak muda yang mengundi PH pada PRU14 sebelum ini adalah sebagai tanda bahawa perubahan perlu dilakukan bagi menyelamatkan keadaan negara yang semakin menghimpit golongan tersebut.

“Saya menggesa agar Ustaz Hadi Awang memikirkan semula kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau ketika ucapan perasmian tersebut dan saya ingin menegaskan agar berhenti menghina anak muda di negara ini.

“Selain itu sebagai seorang pemimpin yang berlatar belakangkan agama tindakan beliau tidak sepatutnya dilihat sebagai seorang yang sombong dengan mengungkapkan kata-kata sebegitu.

“Ramai dalam kalangan anak muda di negara ini yang berjaya dalam bidang akademik dan agama tetapi mengapa Ustaz Hadi masih mempertikaikan soal keilmuan mereka sedangkan ada antara mereka yang terlebih tahu daripada beliau sendiri,” tegasnya ketika dihubungi.

Pada 15 Jun 2019 yang lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata tindakan anak muda yang tidak cakna pada isu politik semasa serta kurang membaca kitab menyebabkan golongan terbabit didakwanya melakukan kesilapan apabila menumbangkan BN dan mengundang mudarat lebih besar dengan memilih PH.

Menambah kenyataannya lagi, Taqiuddin turut kecewa dengan tuduhan yang tidak berasas seperti yang dilakukan oleh Presiden Pas itu serta beliau meminta mana-mana pihak untuk menghentikan sebarang hinaan sebaliknya memikirkan pembangunan terhadap anak muda.

“Sekiranya anak muda itu mentah bukan hinaan seperti mereka tidak berilmu perlu diberikan kepada mereka sepatutnya sebagai seorang presiden parti beliau harus memikirkan pembangunan rohani anak muda.

“Jangan samakan anak muda hari ini dengan zaman beliau ketika pemuda dahulu, ia jauh beza dan apa yang harus dilakukan oleh beliau adalah untuk bermuhasabah dan hindari sifat sombong.

“Sebaiknya beliau memberikan respons terhadap kematian orang asli Batek yang terjadi di negeri yang ditadbir oleh parti beliau dari menghina anak muda yang mengundi PH,” tegasnya lagi.