Hadi belum menang saman, Mokhtar anggap Husam celaru

Hadi belum menang saman, Mokhtar anggap Husam celaru

Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Ustaz Mokhtar Senik menganggap Naib Presiden AMANAH, Husam Musa pada masa ini bercelaru walaupun Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya di peringkat memenangi permohonan interlokitori yang difailkan oleh Sarawak Reports (SR).

Walaupun perbicaraan penuh kes saman fitnah oleh Presiden Pas itu masih belum berjalan, Mokhtar menyelar Husam yang sebelum ini menguar-uarkan pendedahan SR berkenaan dana RM90 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun pimpinan Pas untuk mendorong kerjasama dengan Umno-BN.

“Sekarang Husam jadi bercelaru kerana beliau berada dalam parti (AMANAH) yang celaru dan tanpa arah yang jelas, selain dipandu oleh orang-orang yang tidak memah(am)i Islam,” dipetik dari Facebooknya hari ini.

Calon Pas bagi Parlimen Padang Besar di Perlis itu menyoal sama ada Husam malu dengan apa yang dianggapnya sebagai “keputusan mahkamah menggugurkan semua bukti dan penghujahan SR yg memfitnah TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) dan Pas.”

“Apakah Husam Musa merasa malu dengan keputusan itu?. Beliau yang sebelum ini penuh ghairah cuba menyakinkan rakyat bahawa Pas menerima 90 juta dari Umno. Siap sebut nama akaun dan nama bank di mana transaksi itu berlaku.

“Kini ternyata hati perut beliau (Husam) terlalu kesumat terhadap Pas sehingga kotoran kesumat itu membasahi lidah dengan bahasa-bahasa fitnah,” selarnya.

Mengakui Husam pemimpin berkarisma ketika berada dalam Pas, Mokhtar menganggap bekas Naib Presiden Pas itu sekarang “selalu tersasar” dan “tiada lagi ketepatan hujah dan fakta.”

“Najib yang dikatakan PM yang gagal itu pun kalau berada dalam Pas, Najib akan jadi baik. Tapi kalau ulamak sekalipun kalau berada dalam parti yang tidak baik pastinya akan jadi tidak baik,” tambah Mokhtar lagi.

Terdahulu, peguam mewakili Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Abdul Hadi memenangi kesemua lima permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) bagi kes saman fitnahnya terhadap Editor SR, Clare Rewcastle Brown.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi London hari ini memerintahkan SR membayar keseluruhan kos 28,900 pound iaitu bersamaan RM155,791.

Hakim Mahkamah Tinggi London menetapkan tarikh untuk perbicaraan penuh kes bermula 1 hingga 12 April 2019.

Walau bagaimanapun rata-rata pemimpin dan penyokong Pas dilihat keliru apabila menganggap perintah tersebut sebagai kemenangan mutlak Abdul Hadi terhadap saman yang difailkan pada 21 April 2017 itu.

Walhal, SR hanya diarah untuk membayar kos bagi permohonan interlokitori yang difailkan oleh SR untuk membatalkan saman oleh Abdul Hadi.

Hal ini bermaksud jika tiada permohonan interlokutori lain, kedua-dua pihak perlu bersedia untuk perbicaraan penuh memandangkan saman yang difailkan Abdul Hadi mempunyai kewajaran untuk diteruskan.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Brown di Mahkamah Tinggi London ekoran laporan SR yang mendakwa Presiden Pas itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti tersebut menyokong Umno dan BN.

Artikel Brown bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections” disiarkan portal asing itu pada 6 Ogos 2016.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 9.0