Malaysia Dateline

Hadi, berhentilah dari menjadi watak pemecah belah masyarakat dengan perkauman

Saya merujuk kepada kenyataan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti MUDA cuma umpan DAP untuk memancing undi belia Melayu yang dilaporkan dalam portal berita Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/611283.

Pas hanya mula diterima masyarakat umum sejak mantan Presiden mereka Almarhum Datuk Ustaz Fadzil Noor dilantik sebagai Pengerusi memimpin Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) dan Barisan Alternatif pada tahun 1998.

Biarpun Pas bersama Parti Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) mendepani Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, kerjasama tersebut belum cukup kuat untuk mengangkat Pas ke pentas perdana politik Malaysia. Pas masih dilihat sebagai “parti politik kampung” sebelum itu.

Pas hanya mendapat manfaat daripada gelombang reformasi 1998 dan dalam PRU 1999 mereka berjaya menawan Terengganu, mengekalkan Kelantan dan menambah 20 lagi kerusi Parlimen berbanding hanya tujuh kerusi yang diperolehi mereka pada tahun 1995.

Semenjak daripada itu, Pas tidak lagi konsisten bersama gerakan rakyat. Pas hanya “bijak” menempelak kawan dan lawan, melakukan kerjasama politik yang tidak langsung menguntungkan ahli-ahlinya dan rakyat Malaysia secara amnya. Keputusan Pas bersama DAP dan Keadilan dalam Pakatan Rakyat tahun 2008 hanya menaikkan imej Pas buat sementara waktu sahaja dan Pas mempersia-siakannya.

Pas tidak lagi menjadi watak penyatu seperti yang pernah kita lihat pada karisma Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Presiden Pas yang ada pada hari ini hanya tahu memainkan watak sebagai pemecah belah kerjasama politik yang beliau sendiri usahakan.

Pas kemudiannya memasuki gelanggang PRU14 dengan membentuk Gagasan Sejahtera bersama IKATAN dan BERJASA tanpa memahami real politik semasa. Pas yang dipimpin oleh Hadi Awang ternyata tidak langsung memahami keresahan rakyat waktu itu. Gelombang rakyat di seluruh negara yang menolak kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Najib Razak gagal diterjemahkan sebagai langkah politik oleh Pas.

Amat malang sekali ketika itu Pas tidak langsung menyedari yang mereka cuma menjadi watak pemecah belah rakyat yang mahukan penyatuan semua pihak untuk menumbangkan rejim BN.

Pas yang hanya memenangi 18 kerusi Parlimen bagaimanapun berjaya mencapai cita-citanya menjadi sebahagaian daripada Kerajaan Persekutuan melalui Langkah Sheraton – sesuatu yang saya yakin tidak akan sesekali dilakukan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

Membentuk sebuah kerajaan melalui tebuk atap, pintu belakang dan bukan dengan jalan terhormat seperti memenangi pilihan raya, bukanlah daripada citra Pas seperti yang pernah diimpikan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Malah bukan sesuatu yang sepatutnya datang dari parti politik yang mendakwa mereka adalah sebuah parti Islam.

Pas dan Umno yang dikalahkan melalui PRU14 sebelum itu telah membentuk Muafakat Nasional (MN) yang turut menganggotai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diperingkat Persekutuan namun kini sudah mula berbalah sesama sendiri.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan, perbalahan Pas yang berada dalam PN dan Umno yang berada dalam Barisan Nasional (BN) tidak boleh disembunyikan lagi. Mereka “berperang” seolah-olah mereka datang dari dua kumpulan berbeza – pembangkang dan kerajaan – walhal kedua-duanya berada di pihak yang sama sebagai sebahagian Kerajaan di peringkat Pusat.

Suka saya mencadangkan kepada Presiden Pas supaya berhentilah memainkan watak pemecah belah rakyat. Presiden Pas tentunya tahu yang zaman kini telah banyak berubah dan anak muda semakin bijak berpolitik. Mereka tidak lagi boleh dibeli dan dipengaruhi dengan amanat seperti 40 tahun yang lalu.

Presiden Pas mesti mengakui kelemahan dan tidak lagi terbuai dengan kegagalan beliau memahami real politik seperti dalam PRU14 yang lalu.

Mengaitkan DAP dengan penubuhan parti MUDA kononnya untuk mengumpan belia Melayu merupakan kenyataan yang menghina intelektual dan maruah anak muda Melayu. Kenyataan ini hanya bertujuan memecah belah kebersamaan rakyat yang mahu melihat negara ini dibina semula atas semangat kharmonian pelbagai suku kaum, bangsa dan agama, yang bercita-cita menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan bermanfaat buat rakyatnya, yang mahu melihat lahirnya sebuah negeri dan negara bermaruah di mana pemimpinnya mempunyai nilai dan moral kepimpinan yang tinggi, berlaku adil, tidak melakukan rasuah dan tidak berbohong serta memperbodohkan rakyatnya dengan kad agama dan bangsa untuk kekal berkuasa.

Hari ini anak muda sudah mula mempraktikkan hak mereka untuk menyertai mana-mana parti politik tanpa perlu diarah-arah atau dipaksa-paksa. Ini adalah kemenangan kepada anak muda dan menjadi ketakutan terbesar buat Pas.

Presiden Pas sedar akan kelemahan partinya dalam menggamit minat anak muda yang lebih memilih untuk bersama gelombang kebangkitan semula rakyat – tidak kiralah melalui AMANAH, Keadilan, DAP mahupun parti baharu seperti MUDA. Dan apabila Pas bukan menjadi pilihan anak muda Malaysia, menyalahkan DAP adalah jalan paling mudah untuk Pas.

Oleh itu, dengan penuh hormat, saya mohon Presiden Pas supaya menarik balik kenyataan beliau dan berhentilah memainkan watak pemecah belah ini.

———-

Penulis adalah Setiausaha DAP cawangan Pusat Bandar Shah Alam.