Hadi bertanya Hadi: Mana Hisbah di Terengganu sekarang
Hadi bertanya Hadi, kenapa Hisbah tidak dilaksanakan di Terengganu sedangkan Enakmennya sudah ada sebelum ini, ketika Presiden Pas itu mendesak kerajaan Muhyiddin melaksanakan Hisbah.

Hadi bertanya Hadi: Mana Hisbah di Terengganu sekarang

Pas khasnya pimpinannya dalam Kerajaan negeri Terengganu diminta melaksanakan dahulu apa yang dikata, bukan hanya pandai meminta pihak lain melaksanakannya sahaja.

Ini berikutan cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan fungsi Hisbah sebagai perkara pertama yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Kenyataan Presiden Pas yang meminta kerajaan Muhyiddin menubuhkan Hisbah sedangkan di Terengganu sudah ada Enakmen Hisbah tetapi tidak dilaksanakan oleh kerajaan Pas Terengganu sendiri.

Menurut orang aktivis media sosial, Mohamed Hadi AH, Enakmen Hisbah telah lama diluluskan oleh Dun Terengganu sewaktu Pas memerintah pada tahun 2000.

Exco Hisbah ketika itu ialah Tun Salleh Abas. Selepas Pas tumbang pada 2004, portfolio Hisbah dibubarkan.

“Setelah Pas mengambil alih pemerintahan Terengganu pada tahun 2018, mengapa institusi Hisbah di Terengganu tidak dihidupkan semula sampai ke hari ini?” tanya Hadi dalam posting beliau di facebook itu.

Seterusnya Hadi bertanya, “Siapa Pesuruhjaya Hisbah Terengganu sekarang? Di manakah pejabatnya?

“Kenapa nak suruh orang lain buat Hisbah sedangkan kita sendiri pun tak buat Hisbah?” tanya Hadi yang merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu.

Beliau juga mempersoalkan, bagaimana pula dengan negeri Kelantan? Kenapa tiada enakmen Hisbah Kelantan sehingga ke hari ini?