Malaysia Dateline

Hadi dalam kesombongan kuasa, kata Wanita AMANAH

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menyifatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai orang yang sedang berada dalam kesombongan kuasa.

Ketuanya, Senator Aiman Athirah dalam kenyataannya berkata, kenyataan Hadi yang menyokong darurat bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Kenyataan berbaur kesombongan kuasa ini mengesahkan agenda keji rejim pengkhianat terdesak menyelamatkan kuasa rapuh sambil meremehkan derita rakyat yang kini terhimpit akibat tindakan-tindakan bermotif politik demi menyelamatkan kerajaan tanpa majoriti ini,” kata Aiman Athirah dalam kenyataan itu.

Katanya, sambil meninggalkan rakyat terkapai-kapai mendepani tekanan hidup tanpa sebarang pelan sosioekonomi tuntas, hari demi hari rejim pengkhianat ini terus merobek rakus sisa-sisa demokrasi yang menjadi asas negara bangsa ini.

“dan Abdul Hadi akan terpahat dalam helaian sejarah sebagai pemimpin parti Melayu-Islam kebanggaannya yang bersekongkol dengan pengkhianatan keji ini,” katanya.

Jika Abdul Hadi lupa, katanya, rakyat sedia mengingatkan bahawa ‘politiking tidak berkesudahan’ ini telah dicetuskan akibat perbuatan tangan-tangan Abdul Hadi sendiri, bersama sekutu-sekutu politiknya yang mengheret negara ke kancah kemusnahan dan kehancuran institusi semak dan imbang bermula dengan Langkah Sheraton.

“Di manakah Hadi dan majoriti mereka yang kini menjadi Menteri, pada akhir Februari 2020 iaitu tatkala kepimpinan negara semasa pentadbiran PH pada waktu itu dan barisan hadapan negara serta rakyat sedang bergelut berdepan gelombang pertama wabak ini?

“Rakyat dan kita semua tidak pernah lupa bahawa individu sebenar adalah Hadi Awang, BUKANnya Datuk Seri Anwar Ibrahim; yang berada di Sheraton bagi membincangkan agenda pengkhianatan menjatuhkan kerajaan sah dipilih rakyat melalui Pilihan Raya Umum ke-14!

“Berapa lama negara dalam vakum kepimpinan setelah mandat rakyat dirampas dalam tempoh pandemik?

“Inilah sebenarnya malapetaka ‘politiking tidak berkesudahan’ yang membelenggu negara, yang kini cuba diletakkan kesalahan oleh Hadi ke atas Dato Seri Anwar dan PH!” kata beliau dalam kenyataan itu.

Bagi beliau, rakyat juga sedia mengimbas kembali jika Abdul Hadi mengalami _short term memory loss_ akan rampasan kuasa melalui politik jual beli sokongan di Sabah oleh rejim PN sehingga runtuhnya kerajaan negeri sekaligus mendesak Pilihan Raya Negeri diadakan, seterusnya mengundang gelombang ketiga wabak Covid-19 di seluruh negara!

“Nah, siapakah sebenarnya yang berpolitik tidak berkesudahan, PN atau PH?” tanya beliau dalam kenyataan itu.

Katanya, ancaman Covid-19 tiba-tiba mendapat perhatian Duta Khas Timur Tengah ini, sedangkan menteri-menteri dan rakan-rakan sekutunya sendiri terpalit dengan pelanggaran SOP serta kegagalan menjalani kuarantin kendiri termasuk menteri dari partinya.

Pada saat kuasa politik PN terselamat dengan penggantungan sementara Parlimen dan Dun, beliau meminta usahlah Hadi Awang gusar dengan perbahasan siapa yang layak menjadi Perdana Menteri daripada PH.

“Fakta yang jelas terang lagi bersuluh adalah bahawa Perdana Menteri rejim PN hari ini telah kehilangan majoriti dengan penarikan sokongan beberapa Ahli Parlimen PN sendiri.

“PN hakikatnya telah gagal teruk mengemudi negara di dalam krisis kesihatan dan krisis ekonomi, bahkan menjadi asbab utama dan berterusan kepada tercetusnya krisis politik paling parah dalam sejarah negara,” kata beliau.

Dakwaan Hadi Awang bahawa pihak lawan berpecah belah dan Anwar tidak dapat mengumpulkan jumlah mencukupi amat melucukan, katanya.

Ini kerana PN sendiri terumbang-ambing apabila sokongan dan keyakinan rakan-rakan sendiri tergugat dan terus berselindung di sebalik pengisytiharan darurat ini.

“Adalah sangat jijik dan jelik apabila menggunakan Pandemik Covid-19 bagi menyelamatkan krisis kehilangan majoriti sokongan Ahli-ahli Parlimen,” katanya.