Malaysia Dateline

Hadi di IJN: Anak akui banyak mesej tersebar tidak benar, ditokok tambah

Anak sulung Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya petang ini tampil menerangkan situasi terkini kesihatan ayahnya.

Dia yang juga ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil berkata, ayahnya kini berada di Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan yang stabil namun masih memerlukan rawatan susulan dan pemantauan oleh doktor.

“Mohon doa dan solat hajat khusus kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera.

“Saya turut menerima pertanyaan tentang mesej-mesej yang tersebar, kebanyakannya adalah tidak benar dan ditokok tambah,” katanya ringkas dalam hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, seperti kelaziman sebelum ini, tidak dinyatakan bila Hadi dimasukkan ke IJN.

Kenyataan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat itu susulan tersebar pelbagai mesej yang dilihat penyokong tegar parti itu meratap tidak mahu kehilangan ‘permata’.

Sehubungan itu, Khalil akan memaklumkan keadaan ayahnya yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu dari masa ke masa.