Hadi di IJN, semangat dan ceria, kata setiausaha politik

Hadi di IJN, semangat dan ceria, kata setiausaha politik

 

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dalam keadaan semangat dan ceria, kata Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang sempat bercakap dengan Presiden Pas itu pada jam 10.05 malam tadi (1/10/2016) ketika beliau sudah berada di IJN untuk menerima rawatan susulan dan rehat yang secukupnya.

“Nada suara Tuan Guru adalah dalam keadaan bersemangat dan ceria. Beliau menyampaikan ucapan terimakasih kepada seluruh ahli, kepimpinan dan penyokong PAS yang mendoakan kesihatan beliau untuk terus memimpin ummah,” kata Samsuri.

Pada masa yang sama, katanya, pihak doktor juga mengharapkan kerjasama semua pihak agar memberikan ruang kepada presiden Pas itu untuk menerima rawatan tanpa gangguan, dengan berehat dari menerima tetamu yang mungkin berhajat mengunjungi beliau di IJN.

Malam tadi Hadi berucap sambil duduk di Himpunan Harap PGU 3.4 di Kemaman, Terengganu.

Beliau kelihatan meninggalkan majlis itu dengan dipapah oleh pembantunya.

Menurut sumber, selain jantung, Hadi juga menghadapi masalah buah pinggang dan juga gastrik.